Argentina berpeluang untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lima tahun lalu apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Dunia Futsal 2021 selepas menundukkan musuh tradisi, Brazil 2-1 pada aksi awal pagi tadi.

Seperti dijangka, perlawanan melibatkan dua kuasa besar futsal dunia itu berlangsung dengan cukup menarik dimana kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas dalam usaha memburu jaringan.

Selepas ketandusan jaringan pada 10 minit awal meskipun menjelmakan permainan berintensiti tinggi, Argentina akhirnya membuka tirai jaringan berselang seminit kemudian menerusi Constantino Vaporaki.

Berpunca daripada usaha keras Cristian Borruto yang melakukan percubaan ke arah pintu gol membolehkan Vaporaki untuk menolak mudah bola masuk ke dalam gawang ketika beliau tidak dikawal pemain Brazil.

Barisan pemain Argentina. Kredit Foto: AFA – Seleccion Argentina

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral anak buah Matias Lucuix untuk melebarkan kedudukan dan mereka sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-13 perlawanan.

Borruto melakukan tolakan mudah susulan serangan balas pantas dimulakan Vaporaki yang kemudiannya memberikan peluang buat Maximiliano Rescia untuk melorongkan bola cantik buat pemain berusia 34 tahun itu bagi menyempurnakan peluang terhidang.

Tersentak dengan dua jaringan awal itu, Brazil yang merupakan juara dunia sebanyak lima kali tampil dengan lebih kemas sekali gus berjaya merapatkan jurang menerusi bintang dunia, Ferrao pada minit ke-17.

Brazil yang menginginkan gol penyamaan terus memberikan tekanan ke kubu Argentina tetapi usaha keras dijelmakan skuad kendalian Xavier Marquinhos itu masih belum cukup untuk menghalang kemaraan Argentina ke perlawanan akhir buat dua edisi berturut-turut.

Dengan kemenangan berharga diraih Argentina itu bermakna mereka akan menantikan pemenang antara Portugal dan Kazakhstan yang akan beraksi pada awal pagi esok.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Kebangkitan Hebat Bawa Portugal, Kazakhstan Ke Separuh Akhir

Piala Dunia Futsal: Argentina Bakal Hadapi Brazil Di Separuh Akhir

Piala Dunia Futsal: Pasukan Gergasi Tamatkan Perjuangan Jepun, Thailand