Cadangan FIFA untuk mengadakan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan berbanding empat tahun sekali sebagai antara usaha badan induk dunia itu mentransformasikan masa depan bola sepak menerusi perencanaan jadual pertandingan bersifat global.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, menyifatkan pelaksanaan pelan FIFA ini akan memberi impak besar buat industri bola sepak global, khususnya dalam meluaskan lagi peluang negara anggota layak ke Piala Dunia.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota FIFA yang lain.
Pada dasarnya FIFA mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa atau International Match Calendar (IMC) selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan oleh kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa.
Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses FIFA mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh dalam usaha membawa dimensi baharu ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.
“Cadangan FIFA ini juga memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain sekaligus mampu memastikan tempoh rehat mencukupi bagi pemain antara musim,” kata Datuk Haji Hamidin.
Turut hadir mengiringi Datuk Haji Hamidin secara maya, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Dalam sidang itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsène Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita, Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing.
Dua cadangan pertandingan belia FIFA dibentangkan, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan B-17, B-16 dan B-18 diadakan secara tahunan.
Pelan jangka panjang FIFA termasuk menampilkan 50 pasukan negara dan 50 kelab terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak lelaki dan wanita, sejajar dengan perancangan Infantino dalam Visi FIFA 2020-2023.
Sidang kemuncak yang bermula jam 9 malam waktu Malaysia (30 September) berlangsung empat jam ini turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan perlaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.
“Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan FIFA – Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwi-tahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia.
“Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mapan di segenap pelosok dunia,” kata Datuk Haji Hamidin.
Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda.
Astro Miliki Hak Penyiaran REVO Thai League 1 Musim 2021/2022, Mula ‘LIVE’ Pada 1 Oktober Nanti
Shazwan Wong Berkongsi Tips Bagaimana Pasukan Perak Mampu Menjana Pendapatan RM391,000 Sebulan