Temasya Piala Dunia B-17 Tahun yang bakal berlangsung di Indonesia bakal menggunakan khidmat Video Assistance Referee (VAR) dan juga teknologi garisan gol bagi menjaga kualiti permainan.

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football dimana perkara ini turut disahkan oleh Indra Yudhistira yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Visual Indomedia Produksi (VIP) yang menjadi sebahagian daripada syarikat yang mendapat hak untuk penyiar rasmi temasya iaitu EMTEK.

Menurut Indra, pegawai yang dihantar oleh Konfederasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga pengadil tempatan akan mengendalikan kedua-dua teknologi itu.

“Ada pegawai dari FIFA dan juga dari Indonesia yang akan mengendalikan teknologi itu. Jadi pasukan VAR dan garisan gol akan bekerjasama dengan kami di bahagian penyiaran. FIFA akan membawa semua peralatan dan akan meletakkan sistem bersebelahan bilik kawalan kami ketika perlawanan nanti,” katanya.

Indra berkata empat stadium yang dipilih sebagai venue iaitu Stadium Antarabangsa Jakarta, Stadium Gelora Bung Tomo, Stadium Jalak Harupat dan Stadium Manahan akan mempunyai bilik VAR khusus. Beliau menambah ini adalah satu perkara yang baik apabila FIFA melibatkan pasukan tempatan dalam pengendalian VAR, kerana ia sering membawa pasukan sendiri tanpa bekerjasama dengan penganjur tempatan.

Tambah Indra, penggunaan VAR juga akan memberi impak positif kepada empat stadium di atas kerana ia akan meningkatkan standard mereka ke peringkat antarabangsa. Beliau juga berkata ini akan menjadi momentum untuk pihaknya mengkaji teknologi tersebut bagi penggunaan pada masa akan datang.

Piala Dunia B-17 tahun edisi 2023 dijadualkan berlangsung dari 10 November hingga 2 Disember 2023. Bagi peringkat kumpulan, pasukan kebangsaan Indonesia B-17 akan bermain tiga perlawanan di Surabaya.