Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo memohon maaf setelah pasukan bimbingannya gagal untuk muncul juara saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Vietnam tewas dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Thammasat sekaligus terpaksa akur kalah dengan agregat 3-2 kepada Thailand.

Selepas perlawanan, Hang-seo mengucapkan tahniah kepada Thailand di atas kejayaan kali ketujuh menjulang trofi Piala AFF dan memohon maaf kepada peminat Vietnam.

https://twitter.com/affmecup/status/1615005214150651906?s=46&t=LbKNUViNv03YAa34C8Irmg

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan Thailand dan jurulatih mereka iaitu Alexandre Polking di atas kejayaan malam ini (semalam).

“Saya mahu memenangi trofi kali ini sebagai hadiah untuk peminat, namun saya tidak boleh mewujudkan impian itu. Saya meminta maaf di atas kegagalan ini,” kata Park Hang-seo.

Selepas berpisah dengan Vietnam ekoran tidak mahu menandatangani kontrak lanjutan, jurulatih dari Korea Selatan itu yakin bola sepak Vietnam akan terus maju selepas ini.

“Saya tidak tahu sama ada Vietnam akan mampu menewaskan Thailand setelah saya pergi. Itu persoalan yang perlu dijawap oleh pengganti saya.

“Tapi saya yakim bola sepak Vietnam akan terus berkembang. Mulai esok, saya bukan lagi ketua jurulatih, tetapi sebagai peminat tegar. Saya akan terus menyokong pasukan kebangsaan, senior mahupun B-23 Tahun.

“Semoga kita akan menyimpan kenangan indah antara satu sama lain buat selama-lamanya,” tambah Hang-seo.

Sejak membimbing skuad senior dan B-23 Tahun Vietnam pada 2017, Hang-seo telah mencipta beberapa kejayaan seperti memenangi Piala AFF pada edisi 2018 dengan menewaskan Malaysia dan juga pingat emas Sukan SEA pada 2019 dan 2021.

Selain itu, Hang-seo juga pernah membawa skuad B-23 Tahun menduduki tempat kedua dalam saingan AFC B-23 Tahun pada 2018 dimana mereka tewas kepada Uzbekistan.