Konfederasi  Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan dua kelab dari Myanmar, Shan United dan Hantharwady United telah menarik diri daripada saingan Piala AFC (AFC Cup) untuk musim 2022.

Bagi menjaga integriti pertandingan dan memastikan keputusan yang adil kepada pasukan lain, AFC telah membatalkan perlawanan play-off di antara kelab Kemboja, Visakha FC menentang kelab dari Laos, Young Elephants yang dijadualkan berlangsung pada 19 April ini.

Sebaliknya, kedua-dua pasukan itu telah dianugerahkan slot automatik ke peringkat kumpulan. Visakha FC ditempatkan dalam kumpulan G bersama wakil negara, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Bali United dan Kaya FC-Iloilo dari Filipina.

Bali United menjadi tuan rumah kumpulan G dan semua perlawanan akan berlangsung di Denpasar, Indonesia. Manakala Young Elephants dimasukkan dalam kumpulan I bersama Vittel FC, Hougang United dan Phnom Penh Crown.

Namun begitu, penarikan diri kelab dari Myanmar itu memberi kesan kepada kumpulan H yang dihuni oleh wakil negara, Kuala Lumpur City, Tampines Rovers dan PSM Makassar. AFC memutuskan tiada pengganti untuk Shan United dan kumpulan itu kekal kepada 3 pasukan sahaja.

Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kumpulan H. Pertandingan ini akan dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

Semua perlawanan peringkat kumpulan Zon Asia Tenggara akan berlangsung pada 24 Jun hingga 30 Jun 2022.

Antara bandar lain di Asia yang turut dipilih sebagai rumah dalam kumpulan masing-masing ialah Muscat, Kuwait City, Manama, Kolkata, Dushanbe, Bishkek dan Tainan, Chinese Taipei. Manakala tuan rumah untuk kumpulan I akan ditentukan kemudian.

Mereka dipilih menjadi tuan rumah kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC dari segi keperluan logistik, keselamatan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan COVID-19 kepada semua pemain dan pegawai yang kosnya ditanggung oleh badan induk itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

RASMI: JDT Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kumpulan I AFC Champions League

Piala Asia B-23: Malaysia Jumpa Vietnam dan Thailand Lagi

RASMI: Malaysia Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023