Berkuatkuasa pada 19 November 2020, setiap pasukan telah diingatkan untuk menggunakan Kontrak Pemain Profesional yang baharu.
PFA Malaysia (PFAM) turut terlibat dalam pindaan beberapa klausa di dalam kontrak baharu yang diharapkan dapat memastikan kepentingan kedua-dua pihak terjaga sepanjang keterikatan ini.
PFAM telah memasukkan perkara prosedur yang perlu dibuat oleh seseorang pemain yang ingin menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji yang berjumlah lebih dari dua bulan.
Hal ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkenaan proses penamatan kontrak sepertimana yang telah berlaku kepada seorang pemain naturalisasi pada musim ini.
PFAM juga turut memberikan komen penambahbaikan kepada perkara berkenaan prosedur rungutan bagi hal-hal berkaitan kontrak, pelepasan pemain untuk panggilan tugas pasukan kebangsaan dan juga berhubung skim perlindungan insurans yang perlu diberikan perhatian terperinci di dalam kontrak.
Selain itu juga, PFAM juga memberikan komen berhubung penekanan lebih jelas tentang status pemain yang tidak boleh ditamatkan kontrak akibat kecederaan dan prestasi.
Paling utama adalah berkenaan kewujudan Klausa Force Majeure, yang mana ia merupakan klausa yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah kontrak bolasepak Malaysia, mengambil iktibar dari peristiwa pandemik Covid19 yang telah memberi kesan sangat besar kepada bolasepak tempatan terutamanya terhadap kepentingan pemain dan pasukan.
PFAM menggesa agar setiap pasukan cakna dan mengambil maklum berkenaan penggunaan Kontrak Pemain Profesional yang baharu ini dan turut mengingatkan supaya pasukan-pasukan tidak memasukkan terma-terma tambahan yang bercanggah dengan terma-terma asas di dalam kontrak baharu ini.
Sebagai contoh, biarpun sudah jelas betapa seseorang pemain tidak boleh ditamatkan kontrak atas dasar prestasi, tetapi masih ada pasukan yang melampirkan terma tambahan dengan meletakkan laporan prestasi sebagai syarat penamatan kontrak.
Hal ini ternyata menyongsang dengan semangat asal Kontrak Pemain Profesional dan ia seharusnya tidak berlaku. Sebagai Persatuan Pemain, PFAM juga ingin mengingatkan kepada semua ahli, supaya melaksanakan obligasi kontrak dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
Jangan gunakan klausa-klausa seperti di Para 10, sebagai “perisai” untuk para pemain mengambil sikap sambil lewa dalam isu prestasi bersama pasukan.
“Ingatlah, ini adalah periuk nasi anda.”
Dalam suasana industri bolasepak Malaysia yang semakin mengecil, pasukan kini semakin selektif dalam mengambil pemain, dan sikap sambil lewa serta tidak mahu memberikan prestasi yang terbaik pastinya akan menjejaskan nama anda dan seterusnya menutup peluang bersama pasukan lain di masa akan datang.
Di samping itu, terdapat juga klausa di dalam kontrak pemain untuk menamakan wakil atau intermediari bagi pemain.
PFAM ingin mengingatkan agar pemain menggunakan intermediari yang sah dan berdaftar bersama FAM, bagi melindungi kepentingan para pemain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, memandangkan FAM hanya akan mendengar tuntutan terhadap agen, wakil atau intermediari yang berdaftar dengan FAM sahaja.
PFAM mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh FAM dan percaya penggunaan kontrak baharu ini akan memberikan situasi menang-menang antara pemain dan pasukan yang seterusnya memelihara profesionalisme bolasepak tempatan.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
TMJ Beri Bayangan Bola Sepak Akan Kembali, Kehadiran Penonton 10% Dari Kapasiti Stadium
RASMI: Persebaya Umum Makan Konate Sah ‘Undur Diri’, Liga Tiada Perancangan Punca Utama