Rapid KL mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam bersempena perlawanan Pestabola Merdeka 2023 di antara Malaysia menentang India yang berlangsung pada malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Baca Juga:
- Sunil Chhetri Perkuat Serangan India Di Pestabola Merdeka 2023
- Kim Pan-gon Jadikan Pestabola Merdeka Pentas Pilih Pemain Ke Piala Asia
- Karnival Uniti Meriahkan Pestabola Merdeka 2023
Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata waktu operasi bagi stesen-stesen integrasi juga akan dilanjutkan. Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa. Penumpang boleh keluar di stesen-stesen tersebut bagi meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
Para penyokong Harimau Malaya juga dinasihatkan menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan memastikan baki pada kad adalah mencukupi atau membeli token perjalanan pulang lebih awal bagi kelancaran perjalanan pergi dan balik.
Penyokong disaran agar menggunakan fasiliti ‘Park N Ride’ di stesen-stesen rel terpilih bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik serta kesulitan dalam mencari parkir di kawasan stadium. Sila gunakan kad TnG yang sama bagi mendapatkan kadar rata bagi bayaran parkir.
Inisiatif lanjutan perkhidmatan ini adalah sebagai tanda sokongan Rapid KL terhadap pasukan negara serta para penyokong Harimau Malaya dalam memastikan kemudahan pengangkutan awam tersedia bagi mengurangkan kesesakan kenderaan di sekitar kawasan stadium pada hari perlawanan nanti.
Lebih 40,000 penyokong dijangka akan membanjiri SNBJ kerana perlawanan itu akan menentukan kemaraan skuad negara ke perlawanan akhir menentang Tajikistan nanti.
Para penyokong juga masih boleh mendapatkan tiket perlawanan menerusi laman web TicketHotline. Sokongan padu daripada peminat akan membantu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi terbaik.