Saingan Netball Super League (NSL) 2023 bakal memasuki minggu ketiga pada hujung minggu ini dengan pasukan himpunan bintang yang merupakan juara bertahan, Johor Jewels kini sedang memimpin carta liga dengan kemenangan bersih dalam lima perlawanan awal.
Penganjuran edisi ketiga itu juga tidak kurang menariknya dengan kehadiran pemain-pemain import berkelas dunia seperti Nassanga Shadiah Ssgujja, Nalwanja Shaffie (KL Wildcats), Kadondi Falidah dan Namulumba Christine Kango (Perak Pheonix) dari Uganda serta kapten Sri Lanka, Gayani Samanthika Kumari Dissanayake yang mewakili Johor Jewels.
Selain dapat melihat kelibat berkualiti tinggi pemain-pemain yang membuat penampilan dalam Piala Dunia 2023 serta kemampuan hebat pemain tempatan, terdapat juga perseteruan adik-beradik yang merancakkan lagi kempen NSL kali ini.
Hal ini kerana pemain Pahang Tulips, Khairul Najuwa Sholahuddin perlu menghadapi serangan hebat daripada adik kesayangannya, Khairul Najiha Iman Sholahuddin yang menyarung jersi Selangor Angels.
Lebih menarik, adik-beradik dengan perbezaan tujuh tahun ini beraksi di posisi berlawanan yang memerlukan mereka berdepan sesama sendiri selepas berada dalam satu pasukan (KL Wildcats) pada musim lalu.
Khairul Najuwa yang pernah mewakili skuad remaja negara di Kejohanan Asia 2015 beraksi di posisi Goal Keeper (GK), Goal Defence (GD) dan Wing Defence (WD) manakala Khairul Najiha Iman pula sebagai Centre (C) dan Goal Attack (GA).
Najuwa dan Najiha jelas tidak menunggu lama untuk memulakan ‘perseteruan adik-beradik’ tersebut apabila Pahang Tulips bertemu Selangor Angels pada aksi sulung NSL, 14 Oktober lalu.
Perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Juara itu menyaksikan Najiha keluar gelanggang sebagai pemenang dengan kejayaan 47-42 menundukkan Pahang Tulips.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam sukan tersebut, Najiha mengakui selain doa serta galakan tanpa jemu daripada ibunya, Rokiah binti Kamaruddin, Najuwa turut memainkan peranan penting dalam merintis minat untuk terlibat dengan serius dalam bola jaring.
“Saya mula minat untuk terlibat dengan bola jaring kerana selalu ikut kakak menjalani kem latihan. Masih ingat lagi pada usia 9 tahun saya menjadikan dia sebagai idola saya di posisi ‘defender’.”
“Ini pertama kali kami terpaksa berlawan sesama sendiri, memang semangat saya untuk memburu kemenangan lebih tinggi dalam perlawanan tersebut.”
“Tetapi, di luar gelanggang kami masih lagi mengambil berat terhadap kecederaan masing-masing,” ujar Khairul Najiha bercakap kepada wakil Vocket FC.
Dalam pada itu, Najuwa yang kini berusia 28 tahun meluahkan rasa bangga dapat beraksi bersama adiknya.
“Pada tahun 2022, pertama kali saya dapat bersama adik dalam kejohanan Netball Super League. Perasaan saya sebagai kakak pastinya sangat bangga dapat bermain dengan adik sendiri.”
“Tetapi dalam Netball Super League 2023, kami adik-beradik terpaksa berpisah untuk mencari haluan baharu.”
“Namun begitu, kami tetapi akan menerapkan aspek profesional dalam diri walaupun perlu berhadapan dengan adik sendiri dan mengekalkan fokus terhadap misi masing-masing.”
Terlibat secara serius dalam bola jaring sejak usia 13 tahun, Najuwa kemudiannya menjadi antara tonggak utama buat pasukan Persatuan Bola Jaring Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Kejohanan Remaja dan Terbuka Kebangsaan.
Beliau turut membantu WPKL memenangi pingat SUKMA 2013 dengan menundukkan Kedah.
Manakala ‘legasi’ itu diteruskan Najiha yang turut mengecapi nikmat selaku pemenang pingat emas SUKMA 2022 bersama WPKL setelah menumpaskan Pahang 63-51 di final.