Salah sebuah agensi yang menguruskan perpindahan pemain mendedahkan akan ada beberapa pemain Malaysia yang bakal berhijrah ke saingan Liga Korea.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad di laman media sosial Twitter dimana agensi yang dimaksudkan, Proglobal Sport Management memberi bayangan akan ada pemain Malaysia yang bakal mengikut jejak langkah R.Kogileswaran dengan beraksi dalam saingan Liga Korea.

Proglobal tidak menyebut mana-mana pemain yang dimaksudkan namun pemain yang bakal berhijrah ke Korea itu merupakan salah seorang pemain utama bagi kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, Kogi menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi di saingan Liga Korea dimana pemain itu telah menandatangani kontrak selama setahun bersama salah sebuah kelab yang beraksi di divisyen kedua iaitu Chungbuk Cheongju.

Memetik laporan daripada New Straits Times, Kogi menjelaskan nasihat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon merupakan antara faktor utama yang mendorongnya membuat keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan.

Bekas pemain PJ City itu turut menjadikan sepupunya, Titus James Palani sebagai inspirasi untuk mengikut jejak langkah beraksi di luar negara. Titus sebelum ini pernah menyertai beberapa kelab divisyen bawahan di Perancis.

Malaysia Liga Korea
R.Kogileswaran

“Ini adalah detik yang paling gembira dalam hidup saya. Sejak kecil, saya selalu menyimpan impian untuk beraksi di luar negara seperti Titus dan akhirnya ia jadi kenyataan.

“Sebelum menandatangani kontrak dengan Chungbuk, saya telah bercakap dengan ‘coach Kim’ mengenai perpindahan ini. Dia telah memberikan nasihat yang berguna dan juga tumpang gembira. Dia juga sempat menghubungi saya sebelum berangkat ke Korea Selatan.

“Saya mahu berterima kasih kepada coach Kim atas nasihatnya, ia sangat bermakna untuk saya. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pembantu pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin dan juga Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin. Kedua-duanya telah memberi sokongan penuh,” katanya.