Persoalan peminat bola sepak tempatan mengenai maksud tiga bintang yang terdapat pada logo kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab apabila pemiliknya, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) buka mulut untuk menjelaskannya.

Baca Juga:

Mengulas menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’, TMJ menjawab soalan kepada Khairy Jamaluddin (KJ) dan menerangkan tiga bintang yang terdapat pada logo JDT bukan bermaksud kejuaraan atau pencapaian kelab.

Sebaliknya, ia sebenarnya mewakili Almarhum Sultan Iskandar, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan TMJ sendiri.

“Tanda panggilan saya ialah Johor 3 ketika itu. Oleh itu, ia mewakili saya iaitu Tiga. Jadi, Ke Bawah Duli Almarhum, seseorang yang saya sangat hormati, kagumi dan sayang. Sama juga macam Ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Ibrahim) dan saya (TMJ).

“Tiga sentiasa menjadi nombor bertuah saya. Sejak saya kecil. saya selalu menggunakan nombor 3 apabila bermain polo. Semua yang saya mahu buat, menjadi hatrik.

“Oleh itu, inilah tiga bintang. Ia bukan mengenai kejuaraan. Ia lebih mewakili Almarhum, Ke Bawah Duli Tuanku dan saya,” jelasnya kepada KJ dalam podcast ‘Keluar Sekejap’.

Selain itu, TMJ turut mengakui menguruskan kelab bola sepak bukannya mudah kerana sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dari segi masalah kewangan.

“Jujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat berat dalam bola sepak di negara kita. Contohnya Kedah tak bayar gaji tiga bulan, Sabah tak bayar gaji, Kelantan tak bayar gaji dan Sarawak tak bayar gaji.

“Jadi bukan mudah untuk jaga kelab bola sepak kerana anda melabur banyak wang tetapi benefits dia sedikit. Dari segi tiket, barangan kelab dan juga tajaan,” katanya.

“Kadangkala saya dan kebawah Duli Tuanku keluar duit sendiri dan perkara itu sedikit mengecewakan,” tambahnya.