Skuad kebangsaan Thailand dilaporkan menerima jemputan daripada pasukan Jepun untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A pada bulan Januari 2024.

Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang wartawan sukan di Thailand menerusi laman media sosial dimana perlawanan antara kedua-dua pasukan bakal diadakan di Stadium Nasional, Tokyo pada 1 Januari 2024.

Perlawanan ini menjadi aksi pemanas badan terakhir buat Thailand dan Jepun sebelum kedua-dua pasukan berentap dalam temasya Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Kedua-dua pasukan nyata berada dalam situasi berbeza di peringkat antarabangsa setakat ini dimana Thailand sedikit bergelut dengan hanya mencatat satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan sejak awal tahun ini.

Berbeza pula situasi dengan Jepun dimana pasukan itu sedang berada dalam prestasi terbaik sejak tersingkir dari pusingan 16 pasukan terakhir dalam temasya Piala Dunia 2022.

Sejak awal tahun ini, Jepun mencatat enam kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dimana kemenangan paling cemerlang yang diraih oleh skuad kendalian Hajime Moriyasu itu menewaskan Jerman dengan keputusan 4-1 dalam aksi persahabatan pada September lalu.

Dalam temasya Piala Asia 2023, Jepun diundi dalam kumpulan D bersama dua pasukan dari Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Vietnam serta Iraq manakala Thailand berada dalam kumpulan F bersama Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman.

Ketika temasya edisi 2019, Thailand berjaya mara ke peringkat 16 pasukan terakhir manakala skuad The Samurai Blue mara sehingga ke perlawanan akhir dimana mereka tewas kepada Qatar dengan keputusan 3-1.