Indonesia mendapat pengalaman berharga selepas tunduk 0-2 ditangan Argentina pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang turun dengan reputasi juara Piala Dunia 2022 dan berada di ranking nombor satu dunia berjaya menarik minat puluhan ribu penyokong tempatan.

Aksi di tengah padang juga sudah pasti seperti dijangka apabila anak buah Lionel Scaloni itu tampil dengan cukup kemas meskipun tidak membariskan Alexis Mac Allister, Enzo Fernandez, Rodrigo De Paul di kesebelasan utama serta ketiadaan Lionel Messi.

Penguasaan secara total itu menyaksikan La Albiceleste mendapat  peluang seawal minit ke-10 tetapi rembatan padu bek kanan, Nahuel Molina dalam diselamatkan Ernando Ari Sutaryadi bagi menyelamatkan gawangnya.

Berselang tujuh minit kemudian, giliran Nicolas Gonzalez pula menguji pintu gol Indonesia tetapi Ernando bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan dalam kawasan penalti itu.

Tekanan berterusan diberikan pemain Argentina menyaksikan Ernando dan pertahanan yang diketuai Jordi Amat dan Elkan Baggot terus diancam.

Namun, mereka kental bertahan hinggalah Leandro Paredes membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi rembatan deras daripada luar kawasan penalti untuk meletakkan pelawat dihadapan.

Indonesia turut mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi percubaan Ivar Jenner selepas menerima hantaran Dimas Drajat digagalkan Emiliano Martinez pada masa kecederaan babak pertama.

Penyokong Indonesia sekali lagi hampir melonjak kegembiraan pada minit ke-53 tetapi tandukan ke belakang Baggot hasil lontaran jauh Pratama Arhan ke arah pintu gol Argentina sempat ditepis keluar Martinez untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Argentina kemudiannya menambah gol kedua berselang dua minit kemudian selepas sepakan penjuru diambil Giovani Lo Celso ditanduk masuk Christian Romero berikutan kegagalan Rizky Ridho untuk menyaingi perebutan bola di udara.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan walaupun Argentina berusaha keras untuk menambah jaringan.