Kelab bola sepak Perak (Perak FC) hari ini mengumumkan jalinan kerjasama dengan kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC Samarinda dari segi pembangunan pemain muda dan perkongsian kepakaran.
Baca Juga:
- Yusri Che Lah Mahu Pemain Perak Tidak Terlalu Menghormati JDT
- Bekas Pemain Import Perak Kini Pencari Bakat Di Chelsea
- Bekas Kapten Perak Mengaku Tidak Bersalah Ceroboh Bilik Hotel Wanita
Borneo FC Samarinda yang diwakili oleh pemilik kelab, Nabil Husein Said Amin dan bekas pemain TM Melaka FC, Ponaryo Astaman turut hadir dalam majlis memetaraikan kerjasama itu hari ini bersama wakil Perak, Roy Ho selaku Pengarah urusan dan CEO, Bobie Farid Shamsudin.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pasukan turut akan berkongsi kepakaran dari segi komersial dan penajaan. Malah mereka juga akan mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Segiri, Samarinda pada 18 November ini dan tahun depan.
“Kami percaya kerjasama dengan Perak ini akan membawa perubahan untuk bola sepak Malaysia dan Indonesia.
“Ini memastikan kedua-dua kelab berkongsi kepakaran dan komitmen untuk membangunkan bakat muda. Kami tidak sabar untuk memulakan perjalanan ini bersama,” kata Nabil Husein.
Selain itu, mereka juga akan melakukan pertukaran pemain dari segi pinjaman atau perpindahan untuk memberi manfaat bersama.
Borneo FC kini merupakan pendahulu Liga 1 Indonesia musim ini apabila mengutip 32 mata dalam 16 perlawanan yang diharungi. Roy Ho menyifatkan kerjasama ini akan membawa kejayaan kepada Perak.
“Kami melihat ini adalah satu penghormatan apabila Borneo menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Perak. Borneo FC Samarinda merupakan pendahulu Liga 1 dan kami harap satu hari nanti, kami dapat mengikuti kejayaan mereka.
“Kami yakin kerjasama ini akan membawa kepada pelbagai kejayaan hebat di atas mahupun di luar padang dan kami tidak sabar mencipta memori indah bersama para penyokong kami,” katanya.