Setelah mengambil keputusan untuk berpisah dengan pasukan Selangor, destinasi seterusnya bagi bekas penyerang skuad kebangsaan, Amri Yahyah masih belum diketahui sama ada beliau kekal beraksi di Liga Super atau mencuba nasib dalam saingan Liga Perdana.
Akan tetapi, teka-teki tersebut dilihat bakal terjawab apabila salah sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan, Perak yang dibimbing oleh Mehmet Durakovic disebut-sebut sebagai pasukan yang akan disertai oleh pemain berusia 38 tahun itu.
Sebelumnya, Amri memutuskan untuk meninggalkan Selangor buat kali kedua kerana enggan untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Faktor utama bekas pemain Johor Darul Ta’zim dan Melaka United itu enggan menandatangani kontrak lanjutan kerana dipercayai mempunyai konflik bersama pengendali pasukan, B.Satianathan.
Selain itu, Amri turut memberi bayangan pasukan yang akan disertai beliau pada musim hadapan akan menjadi satu lawan yang sukar untuk Selangor dan beliau akan memastikan bekas pasukannya itu tidak akan meraih kemenangan ketika berdepan pasukan barunya.
Setakat ini, Perak baru menandatangani dua pemain iaitu bekas ketua pasukan PKNP FC, Hafiz Ramdan serta bekas penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula. Seorang lagi pemain, Jeon Hyo-Seok yang berasal dari Korea Selatan dikhabarkan semakin hampir untuk mengisi kuota pemain import Asia bagi juara Piala Malaysia 2018 itu.
Baca artikel lain mengenai Amri Yahyah dan pasukan Perak di sini:
Perak Cari Seorang Lagi Pemain Import Ganti Tempat Hussein El Dor