Beberapa hari lepas Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) telah melancarkan logo baharu mereka untuk digunakan sebagai lambang rasmi dalam saingan Liga Malaysia mulai musim 2021.

Logo tersebut memaparkan imej seekor seladang di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning. Perkataan italic ‘Perak FC’ dan tarikh penubuhan pasukan ‘est 1921’ turut menghiasi logo tersebut.

Namun begitu, ia mengundang kecaman hebat daripada para penyokong Perak yang menyifatkan logo tersebut tidak begitu menyerlah serta tidak mempunyai identiti pasukan.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk kekal dengan keputusan menggunakan logo baharu tersebut dan keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai sebelum ini oleh kepimpinan tertinggi Perak FC.

“Kita akui penyokong ada hak untuk mengeluarkan apa jua pandangan, kritikan dan cadangan tentang logo itu. Kita terima dengan hati yang terbuka.

“Cuma apa yang saya boleh maklumkan keputusan untuk menggunakan logo itu kekal setakat ini. Ini bukan kehendak saya tetapi ia telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi yang menerajui persatuan sebelum ini,” kata Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad dalam Bernama.

Muhammad Yadzan juga berkata pihaknya akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri untuk melakukan penambahbaik pada logo tersebut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita akan pertimbangkan perkara ini cuma saya minta para penyokong bersabar sebab kita ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu terutama membabitkan proses penswastaan dan pemisahan antara kelab bola sepak (FC) dan persatuan bola sepak (FA),” katanya.

Isu pemilihan logo pasukan sentiasa kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini.

Malah, lambang haiwan yang terdapat pada logo Perak FC juga disifatkan sebagai tidak asli dan hanya diambil daripada internet.

Baca artikel lain mengenai isu logo pasukan Liga Malaysia yang pernah dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini melalui pautan dibawah.

Penyokong Kritik Logo Baharu Sri Pahang FC, Pemenang Dakwa Belum Terima Hadiah Seperti Dijanjikan

Logo Baru Kelab Melaka United FC ‘Kantoi’ Diubahsuai, Logo Asal Milik Syarikat Bare Blends Dari Australia?

Rekaan Kepala Rusa Logo Baru Kelantan FC Jadi Bualan Hangat, Ciplak Terus Atau Ada Lesen Dari Pereka Asal?

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat