Beberapa pasukan mengesahkan tidak berdepan masalah dalam soal pemberian gaji pemain dalam masa terdekat biarpun Liga Malaysia terpaksa ditunda buat sementara waktu akibat penularan wabak COVID-19.

Antaranya pasukan Perak yang disahkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri, yang berkata kantung pasukan itu masih di tahap terbaik dan dijamin tidak akan berdepan masalah tunggakan gaji.

Malah, beliau sedikit hairan kenapa nama pasukan Perak dikaitkan akan berdepan masalah dalam pembayaran gaji pemain selain menafikan ketiadaan jualan tiket boleh menjejaskan pendapatan pasukan.

Perak
Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Nadzri. Sumber Gambar: MFL

“Setakat ini kedudukan kewangan pasukan masih macam biasa malah dana yang kami miliki mencukupi sehingga penghujung musim ini dan tiada isu gaji pemain akan terjejas.

“Saya tidak tahu dari mana sumber mengatakan Perak akan jadi salah satu pasukan yang terjejas ekoran liga ditunda memandangkan tiada duit kutipan tiket dan penarikan penajaan.

“Cuma andai kata kalau liga ini terpaksa dilanjutkan ke bulan Disember atau Januari, perkara itu mungkin ada bagi kesan dan kami kena fikirkan cara terbaik mendapatkan bajet tambahan, ” katanya.

Perkara sama turut diutarakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, yang mengakui buat masa ini semua penaja termasuk kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen dalam pembayaran gaji kepada pemain.

Perak
Sumber Gambar: MFL

Tambahnya, isu penularan wabak COVID-19 tidak memberikan kesan kepada Terengganu yang sebaliknya akan terus komited dalan menjaga kebajikan pemain sehingga saingan CIMB Liga Super dan Shopee Piala FA akan kembali bersambung.

“Saya tidak pasti kenapa Terengganu ada dikaitkan dalam isu ini sedangkan kami sendiri sudah mendapat sokongan yang cukup baik daripada kerajaan negeri, syarikat-syarikat GLC(milik kerajaan negeri Terengganu) dan penaja utama kami sendiri, Red One.

“Mereka tidak ada pun cakap akan menarik balik tajaan ekoran liga ditangguhkan kerana COVID-19 dan sokongan yang mereka berikan adalah sehingga penghujung musim ini.

Perak
Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil

“Soal jualan tiket pula tidak memberikan kesan besar kepada kami malah sebelum ini, ia hanya digunakan untuk menampung kos perbelanjaan pada hari perlawanan seperti pembayaran elaun kepada pengadil dan petugas-petugas keselamatan seperti Rela, ” katanya.

Liga Malaysia telah ditunda aksinya sejak 16 Mac lalu bermula daripada aksi pusingan kedua Shopee Piala FA yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 Mac lalu.

Semua pasukan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang latihan sehingga 31 Mac sepertimana diputuskan Kerajaan Malaysia untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Senarai 10 Pemain Asia Tenggara Paling Bernilai

FAM Serahkan Kepada MFL Untuk Tentukan Status Piala Malaysia 2020

Hukuman FAM Ke Atas MUSA Wajar Dijadikan Pengajaran FA Negeri Yang Lain