Baru-baru ini terdapat cadangan mengenai pemansuhan kejohanan Piala Malaysia pada musim ini bagi menyusun semula jadual perlawanan liga dan Piala FA yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Langkah itu mendapat sokongan daripada beberapa pihak kerana selepas tempoh penangguhan Liga Malaysia berakhir, Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil kira jadual padat perlawanan di peringkat AFC Champions League dan persiapan pasukan kebangsaan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Mengulas mengenai isu tersebut, setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingan menjelaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada MFL untuk membuat keputusan terbaik mengenai perjalanan liga.

Ini kerana badan induk bola sepak negara itu hanya memberi fokus kepada jadual perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan.

“Susah saya nak komen (mengenai dakwaan saingan Piala Malaysia mungkin dibatalkan), sebab kejohanan dan jadual semua di bawah MFL.

“Jadi MFL yang akan tentukan dan mengeluarkan keputusan terperinci yang akan memberi kebaikan kepada semua pihak. Kami hanya tengok tarikh membabitkan pasukan kebangsaan saja,” katanya dalam Berita Harian.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam. Sumber Gambar: mStar

Sebelum ini, Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun 2020 jika kes wabak Coronavirus (COVID-19) meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Katanya, penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

“Kita sentiasa berhubung dengan KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai COVID-19 untuk membuat keputusan mengenai tempoh penangguhan perjalanan liga dan secara mudahnya, jika kes menunjukkan penurunan ia mungkin isyarat liga boleh dijalankan lebih awal.

“Tetapi melihat kepada perkembangan terkini, jumlah kes itu bertambah dan MFL bersedia sekiranya liga perlu ditangguhkan sehingga April, Mei atau Jun. Kita mempunyai perancangan dan komited untuk habiskan saingan liga musim 2020 ini,” jelasnya.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak. 

Liga Malaysia Mungkin Ditangguhkan Sehingga Bulan Jun Jika Kes COVID-19 Bertambah

Pemain Bola Sepak Vietnam Mula Salurkan Derma Untuk Membantu Memerangi Wabak COVID-19

JLeague Capai Persetujuan Semua Kelab Untuk Laksanakan Tiada ‘Relegation’ Saingan Liga Musim 2020