Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tanpa berselindung mengakui beliau berhasrat untuk bergelar pengendali skuad kebangsaan sebaik sahaja meninggalkan The Cityzens.

Mula membimbing kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada musim 2016/17, kontrak pengurus berusia 50 tahun itu akan berakhir pada Jun 2023.

Bersama kelab tersebut, terlalu banyak kejayaan di peringkat domestik yang telah dimenangi seperti tiga gelaran juara EPL, empat kali menjulang Piala Liga (Carabao) serta pernah merasai nikmat menjuarai Piala FA.

Impian Guardiola untuk membantu City meraih Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bagaimanapun tidak kesampaian pada musim lalu apabila mereka tunduk 0-1 pada perlawanan akhir.

Dengan kontrak pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique yang akan tamat sebaik sahaja berakhirnya saingan Piala Dunia 2022 di Qatar, jawatan tersebut mungkin menjadi salah satu impian buat Guardiola bagi mengembangkan lagi kariernya.

“Langkah seterusnya adalah pasukan kebangsaan, terdapat kemungkinan. Bola sepak antarabangsa merupakan langkah seterusnya.”

“Saya memerlukan rehat selepas tujuh tahun [bersama Manchester City], saya perlu untuk berhenti dan memandang sekeliling, belajar dengan jurulatih yang lain, dan saya mungkin akan mengambil jalan tersebut.”

“Saya ingin melatih pasukan dalam saingan Kejuaraan Eropah (Euro), Copa America, Piala Dunia,” ujar Pep Guardiola menurut laporan yang dikeluarkan Goal.

Sebelum berhijrah ke England untuk bersama Manchester City, Guardiola turut cemerlang dalam membimbing dua kelab gergasi Eropah, Barcelona dan Bayern Munich.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Usaha Selamatkan Eriksen, Simon Kjaer Terima Anugerah Presiden UEFA

Paolo Maldini: AC Milan Lebih Kuat Berbanding Musim Lalu

Stanley Bernard: Pengalaman Luas Stuart Ramalingam Mampu Perkukuhkan Aspek Komersial Liga M

 

Sumber