Pengarah Teknikal AC Milan, Paolo Maldini mengakui bahawa skuad Rossoneri itu kini telah memiliki pasukan yang lebih hebat berbanding ketika mereka menghadapi saingan musim lalu.

Musim 2020/21 boleh dikatakan sebagai kebangkitan buat AC Milan selepas mereka berjaya menamatkan saingan Serie A di tempat kedua sekali gus bakal kembali membuat penampilan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Keadaan itu sudah pasti membuatkan Maldini amat percaya dengan kemampuan barisan pemain AC Milan meskipun beliau sedar skuad kendalian Stefano Pioli itu kehilangan tonggak seperti Gianluigi Donnarumma dan Hakan Calhanoglu serta Diogo Dalot yang kembali ke Manchester United.

Maldini juga dalam pada itu tidak melihat kehilangan tonggak utama mereka sebagai satu halangan besar buat AC Milan untuk mengimpikan kejuaraan Serie A musim ini dimana kelab tersebut berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sampdoria pada aksi sulung, awal pagi tadi.

Gol kemenangan AC Milan hadir seawal minit kesembilan perlawanan apabila percubaan dalam kawasan penalti daripada pemain pinjaman, Brahim Diaz gagal diselamatkan dengan baik penjaga gol tuan rumah, Emil Audero.

“Kami bermula daripada asas yang dibina pada musim lalu, jadi saya akan mengatakannya,” ujar Maldini menurut laporan Football Italia.

“Pada malam ini [perlawanan bertemu Sampdoria], kami kehilangan lima pemain utama berbanding musim lalu tetapu saya ingin mengatakan pasukan ini lebih kuat.”

“Kami perlu menamatkan beberapa perkara di jendela perpindahan dan kemudian pasukan ini akan lengkap sepenuhnya.”

“Saya selalu suka bermimpi [untuk menjuarai Serie A]. Seperti yang diperkatakan oleh [Fabio] Capello, adalah baik untuk bersikap realistik tetapi tiada siapa akan menafikan mimpi,” tambah Paolo Maldini lagi.

Selepas membawa masuk Olivier Giroud dari Chelsea bagi memantapkan jentera serangan, AC Milan kini dalam usaha untuk memeterai kontrak lanjutan buat ayam tambatan mereka, Franck Kessie serta turut ingin membawa masuk penyerang AS Monaco, Pietro Pellegri.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Stanley Bernard: Pengalaman Luas Stuart Ramalingam Mampu Perkukuhkan Aspek Komersial Liga M

Pemain Muda Negara, Aqil Arazi Sertai Akademi Bola Sepak Berpangkalan Di Sepanyol

‘Racist’ Terhadap Kyogo Furuhashi, Rangers Larang Penyokong Hadir Ke Stadium