Pemain muda negara terus mencorak langkah dengan beraksi di Eropah apabila baru-baru ini Aqil Arazi Aziz menyertai salah sebuah akademi bola sepak di Sepanyol iaitu The Next Generation Sports.
Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad di laman media sosial Twitter dimana Aqil bertolak ke Sepanyol pada Isnin lalu dan tinjauan mendapati pemain berusia 18 tahun itu terus menyertai sesi latihan setibanya di Valencia.
Aqil Arazi has joined @tngsports in Valencia, Spain. pic.twitter.com/dDuUAbuSPh
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) August 24, 2021
Sebelum ini, Aqil beraksi bersama kelab divisyen lima liga Perancis, AS Cannes yang pernah melahirkan pemain seperti Zinedine Zidane, Patrick Vieira dan Gaël Clichy setelah berlatih bersama akademi Broke House College yang terletak di England.
Dua pemain Malaysia iaitu Anas Nadawi dan Amar Makruf pernah berada di bawah naungan The Next Generation Sports dimana Amar kemudiannya menyertai kelab divisyen dua Liga Sepanyol, AD Alcorcon dan bakal beraksi bersama skuad B-23 pasukan itu.
Ketika ini, terdapat beberapa pemain muda negara yang beraksi bersama kelab ataupun akademi di Eropah seperti Luqman Hakim (KV Kortrijk), Omar Raiyan Kama Azlan (Red Star Belgrade), Alle Putra Azril (FC Malaga City), Muhammad Diniz Irwan (Eddersheim FC), Adam Hamid (FK IMT) dan Jaami Qureshi (Brighton and Hove Albion).
Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain muda negara di Eropah di sini:
Dua Pemain Muda Malaysia Sertai Akademi Bola Sepak Di Sepanyol