Aksi penyokong Celtic mencuri tumpuan dunia apabila terus menunjukkan sokongan padu dan tanda solidariti terhadap Palestin ketika aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Atletico Madrid.

Baca Juga:

Juara Liga Perdana Scotland mencatat keputusan seri 2-2 ke atas Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 orang pemain selepas Rodrigo De Paul dilayangkan kad merah di Celtic Park, semalam.

Namun, sokongan yang dipamerkan terhadap Palestin sering menjadi topik utama perbualan peminat bola sepak berbanding keputusan perlawanan itu.

Menurut laporan Aljazeera, beberapa jam sebelum perlawanan, kelab itu mengeluarkan kenyataan meminta pemain dan barisan jurulatih pasukan memakai lilitan hitam sebagai tanda sokongan kepada semua yang terjejas akibat konflik antara Israel dan Palestin.

“Kami meminta sepanduk, bendera dan simbol yang berkaitan dengan konflik dan negara yang terlibat tidak dipamerkan di Celtic Park buat masa ini,” kata kelab itu dalam kenyataannya.

Bagaimanapun, penyokong tidak mengendahkan arahan itu sebaliknya beribu-ribu bendera Palestin dipamerkan sebelum sepak mula dan terus mengibarkannya semasa perlawanan berlangsung.

Berpuluh ribu penyokong Celtic turut bersama-sama menyanyikan lagu bola sepak terkenal ‘You’ll Never Walk Alone’ (anda tidak keseorangan) dan melaungkan slogan bagi menyokong Palestin sebelum perlawanan bermula. 

Ultras Celtic, Green Brigade menggalakkan penyokong tidak mengendahkan kenyataan kelab dan meneruskan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin.

Green Brigade dikenali dengan semangat mereka yang sentiasa membuat solidariti menyokong Palestin secara terbuka. Mereka adalah ultras yang paling banyak didenda kerana solidariti terhadap Palestin.

Penyokong Celtic secara terbuka turut mengecam kelab itu dan berkata sokongan terhadap Palestin adalah datangnya daripada sebahagian besar penyokong dan bukan Green Brigade sahaja.

Rakyat Palestin ketika ini berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

Tindakan berani penyokong Celtic ini dijangka akan mengundang respon badan induk bola sepak eropah, UEFA. Kerana kes terdahulu, mereka sudah diberikan amaran agar tidak mengulangi kesalahan sama.