Penyerang muda skuad kebangsaan Indonesia, Bagus Kahfi bakal beraksi di Eropah apabila beliau sah menyertai salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga Greece iaitu Asteras Tripolis.
Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain itu menandatangani kontrak selama setahun sehingga musim panas 2023 dan bakal memakai jersi bernombor 88.
“Asteras Tripolis mengumumkan kerjasama dengan pemain Indonesia, Amiruddin Bagus Kahfi Alfikri. Dilahirkan di Magelang pada 16 Januari 2002, Bagus bermain sebagai penyerang dan beliau menandatangani kontrak sehingga musim panas 2023 dan akan memakai jersi bernombor 88,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.
Bagus sebelum ini beraksi bersama pasukan muda kelab Eredivisie Belanda, FC Utrecht namun kontraknya tidak dilanjutkan oleh kelab divisyen dua itu sekaligus bergelar sebagai ejen bebas.
Selama beraksi bersama Utrecht, Bagus hanya bermain dalam satu perlawanan dengan jumlah minit permainan sebanyak empat minit sekaligus tidak banyak membuat sumbangan bagi kelab tersebut.
Asteras memulakan saingan Liga Super Greece dengan keputusan seri dimana mereka diikat oleh FC Volos dengan keputusan 3-3 dan ketika ini sedang menduduki tangga ke-7 dalam carta liga.
Bagus akan bersaing dengan beberapa pemain di bahagian serangan seperti Kevin Soni, Sudais Ali Baba, Asier Benito dan seorang lagi pemain iaitu Jeronimo Barrales yang sebelum ini pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Barrales beraksi bersama JDT pada musim 2017 namun beliau banyak diletakkan dalam skuad pembangunan iaitu JDT II dan kemudiannya dilepaskan pada musim berikutnya setelah gagal untuk menampilkan prestasi terbaik.
Musim lalu, Barrales menjaringkan 11 gol dalam 26 perlawanan bagi Asteras sekaligus membantu pasukan itu menamatkan saingan liga di tangga ke-9.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:
Arsenal Di Puncak EPL Selepas Kemenangan Bergaya Ke Atas Bournemouth