Pengurus AFC Telford United, Paul Caden nyata berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain baharu pasukan iaitu Kobe Chong.

Selepas menandatangani kontrak bersama pasukan, Kobe terus diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Shrewsbury Town semalam.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan dan Caden gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain kacukan negara itu.

“Dia berada di kelas tersendiri. Dia menunjukkan semua orang kenapa kita perlu menandatanganinya. Dia mempunyai tahap kesedaran yang baik sebagai pemain muda.

“Tahap kecergasan Kobe juga baik. Ini merupakan perlawanan pertama beliau di sini dan saya cukup kagum dengan apa yang diberikan olehnya,” kata Caden.

Kobe menyertai Telford United setelah menjalani tempoh percubaan bersama kelab itu sejak Jun lalu dan beliau menandatangani kontrak selama satu musim.

Sebelum ini, pemain berusia 20 tahun itu dikaitkan dengan salah sebuah pasukan Liga Malaysia iaitu Sri Pahang selepas beliau dilepaskan oleh Peterborough United.

Kobe dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei lalu.

Akan tetapi, tiada kata sepakat yang berjaya diraih oleh kedua-dua pihak sekaligus menyaksikan Kobe kekal beraksi di England dengan menyertai Telford.

AFC Telford United ditubuhkan pada 2004 oleh peminat setelah kelab asal iaitu Telford United dibubarkan pada musim 2003-2004 ekoran masalah kewangan yang menyaksikan kelab itu gagal melunaskan hutang sebanyak £4 Juta.

Peminat yang tidak mahu melihat kelab kesayangan mereka terkubur kemudiannya memutuskan untuk menubuhkan AFC Telford bagi meneruskan legasi yang telah dicipta oleh kelab lama.

Dalam saingan National League North musim lalu, AFC Telford menamatkan saingan di tangga ke-20 sekaligus mengelak daripada tersingkir divisyen bawahan.

Kehadiran Kobe Chong dilihat mampu untuk meningkatkan mutu pasukan dimana beliau pernah beraksi bersama beberapa akademi kelab ternama di Eropah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:

Kobe Chong Sertai Kelab Divisyen Enam England

RASMI: Chelsea Umum Kehadiran Raheem Sterling

PSG Tolak Peluang Dapatkan Cristiano Ronaldo