Penganjur liga sosial, Klang Valley League dan juga pemilik kelab Klasiko FC, Khairil Anuar menyifatkan penubuhan Liga M4 dibawah kendalian Amateur Football League (AFL) yang diilhamkan oleh Malaysian Football League (MFL) ini telah membuka platform kepada semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda untuk pamerkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3 dapat dibahagikan mengikut zon dan kawasan supaya lebih praktikal dari segi kewangan.
“Saya berharap format serta struktur Liga M3 Malaysia dapat menjadi lebih praktikal lebih-lebih lagi dari segi kewangan pasukan.
“Contohnya, pasukan-pasukan ini dapat dibahagikan mengikut zon dan kawasan. Ini kerana banyak pasukan yang berminat untuk mengambil bahagian di dalam Liga M4 tetapi agak risau dengan perbelanjaan yang tinggi jika pasukan mereka layak ke Liga M3,” jelasnya.
Khairil juga menegaskan Liga M4 telah membuka peluang kepada semua pihak di mana liga amatur itu menjadi medan terbaik buat pemain berstatus ejen bebas atau pemain muda yang tidak mendapat peluang beraksi bersama kelab memperbaiki prestasi mereka.
Justeru, beliau mengakui kewujudan Liga M4 ini akan memberikan kesan cukup positif kepada pembangunan bola sepak tempatan khususnya di peringkat akar umbi.
“(Kewujudan Liga M4) sangat positif. Tahun ini, saya mendapati lebih ramai penganjur dan liga baru yang turut serta. Peminat dan pasukan-pasukan bola sepak amatur juga dilihat memberikan sokongan yang sangat baik.
“Pada pendapat saya, Liga M4 bukan sahaja menjadi platform untuk pemain-pemain amatur tetapi ia juga memberi peluang kedua buat pemain-pemain dari kempen Piala FAM yang kini menjadi ejen bebas.
“Berdasarkan pengalaman menguruskan Klasiko FC yang kini bertanding di salah satu Liga M4 iaitu Shah Amateur League M4, Liga M4 sedikit sebanyak membantu serta mengajar saya tentang pengurusan pasukan ke arah profesionalisme.
“Di samping itu, Liga M4 dilihat sebagai satu platform untuk pemain muda terutamanya yang berusia 23 tahun dan tidak lagi beraksi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Khairil berharap AFL dapat menyelaraskan pelaksanaan Mypas (Sistem Pendaftaran Pemain) bermula musim depan sebagai usaha mendidik kelab-kelab berstatus amatur menjadi lebih ke arah profesional.
Jelasnya, kelab-kelab berstatus amatur ini perlu diberikan perhatian dan kesedaran dalam membimbing mereka menjadi pasukan lebih profesional di masa akan datang.
“Saya berharap Liga M4 pada musim 2020 dapat menyelaraskan pelaksanaan Mypas,” katanya.
Jika anda terlepas mengikuti perkembangan Liga M3 dan M4, klik pautan dibawah: