Kelab Bola Sepak Penang (PFC) mencuri perhatian para peminat bola sepak tempatan apabila mengumumkan barang larangan yang tidak dibenarkan bawa masuk ke Stadium Bandaraya sempena aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan semalam.

Baca Juga:

Antara barang larangan tersebut termasuk lato-lato, iaitu alat permainan yang popular dalam kalangan kanak-kanak ketika ini. Mainan dua bola bertali itu diharamkan kerana ia berbahaya dan berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang awam.

Permainan ini juga mengeluarkan bunyi bising dan bingit sehingga mampu mengganggu fokus penonton yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak dalam stadium.

PFC ialah pasukan kedua Liga Malaysia yang melaksanakan pengharaman lato-lato dan pasti bakal menjadi ikutan oleh pasukan lain. Langkah tidak membenarkan kemasukan lato-lato ini turut disambut baik oleh para penyokong Penang.

Selain lato-lato, antara barang larangan yang tidak dibenarkan PFC ialah pembakar suar, penunjuk laser, haiwan peliharaan, drone dan gulung tisu.

Dalam perlawanan semalam, PFC gagal mengutip tiga mata di laman sendiri apabila terikat seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan pada aksi kedua Liga Super 2023.

Suasana bertukar cemas apabila penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami kecederaan rahang selepas bertembung dengan Rahmat pada minit ke-47 menyebabkan pemain sayap itu dilayangkan kad kuning.

Pasukan paramedik bersama sebuah ambulans turut masuk ke tengah padang dan penjaga gol muda berusia 20 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital namun keadaannya dilaporkan stabil.

Keputusan kekal seri sehingga perlawanan tamat dengan keputusan tersebut dilihat menghampakan penyokong skuad kendalian ketua jurulatih, Chong Yee Fatt pada aksi pertama di laman sendiri.