Jaringan tunggal pemain tengah, David Rowley sudah cukup untuk membantu Penang FC menundukkan Kuala Lumpur City FC 1-0 pada aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Penang FC yang dibimbing pengendali kelahiran Republik Czech, Thomas Trucha menyajikan aksi lebih bertenaga sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ketua pasukan, Endrick Dos Santos menjadi arkitek penting dalam menghidupkan jentera tengah Penang FC.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Brazil itu seringkali melakukan hantaran lolos yang cukup berkualiti dalam memberikan ruang kepada rakan sepasukannya untuk mendapatkan jaringan terutamanya Casagrande Anselmo Arruda Da Silva.
Pasukan tuan rumah memberikan ancaman pada minit ke-12 susulan gerakan solo dari sebelah kanan pintu gol Kuala Lumpur City yang dilakukan Mohammad Amer Azahar, tetapi penyudah pemain tersebut ketika beliau sudah berada dalam kawasan penalti tidak mendatangkan sebarang bahaya buat penjaga gol, Kevin Ray Mendoza.
Berselang 15 minit kemudian, Casagrande mendapat hantaran lintang yang cukup baik daripada Endrick, namun tandukannya ditepis keluar Mendoza bagi menyelamatkan keadaan.
Sepakan sudut yang diperoleh pada minit ke-29 digunakan sepenuhnya Penang FC apabila hantaran Endrick berjaya ditolak masuk David Rowley untuk membuka tirai jaringan ketika pemain tersebut langsung tidak dikawal pemain pertahanan Kuala Lumpur City.
Bagaikan mendapat tonik berguna, Penang berterusan memberikan aksi bertenaga dalam usaha mereka menambah jaringan.
Hantaran berkualiti dijelmakan Endrick terus menjadi igauan ngeri buat pemain lawan setelah sepakan penjurunya tepat ke kepala Boboev Sheriddin. Tetapi, tandukan pemain kelahiran Tajikistan itu sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-36.
Mendoza terus diuji ketika aksi memasuki minit ke-62 berpunca daripada lorongan baik Endrick mencari Casagrande, namun usaha penjaring terbanyak Liga Premier musim lalu itu dalam kawasan penalti dinafikan Mendoza.
Enggan pulang dengan tangan kosong, Kuala Lumpur City yang mendapat bimbingan Bojan Hodak melancarkan dua serangan berbahaya pada lewat permainan menerusi Josue dan Romel Morales.
Bagaimanapun, usaha mereka tidak membuahkan hasil untuk Penang FC melangkah keluar daripada Stadium Bandaraya dengan nota kemenangan.