Saingan TM Piala Malaysia 2021 kini sudah tiba di penghujungnya. Dua pasukan iaitu Kuala Lumpur City (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk penentuan sebagai juara.
Bukan itu sahaja, kejohanan Piala Malaysia musim ini turut menawarkan satu tiket ke Piala AFC (AFC Cup) pada tahun depan untuk pasukan yang bergelar juara.
Ini kerana Liga Malaysia masih kekal memperolehi slot 1+2 daripada AFC iaitu satu kuota automatik bagi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan dua slot untuk Piala AFC pada musim hadapan.
Biasanya, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperolehi slot ke Piala AFC secara automatik.
Bagaimanapun disebabkan oleh pandemik COVID-19 telah banyak merencatkan perancangan Liga Malaysia sehingga Piala FA terpaksa dibatalkan, maka Malaysia Football League (MFL) telah memutuskan bahawa juara TM Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022
JDT yang dinobatkan sebagai juara Liga Super 2021 pada bulan September lalu akan beraksi dalam saingan ACL 2022 manakala Kedah selaku naib juara Liga Super 2021 memperolehi tiket ke Piala AFC 2022.
Kedudukan penuh Liga Super musim 2021.
JDT juara kali ke-8 berturut-turut dan layak ke @TheAFCCL manakala Kedah tempah tiket ke @AFCCup musim depan. #LigaSuper2021 pic.twitter.com/kYGJWKhAg0
— VOCKET FC (@vocketfc) September 12, 2021
Satu lagi slot Piala AFC 2022 bakal ditentukan malam ini sama ada KL City atau Penang yang berada di kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super 2021. Jika KL City tewas, Penang akan beraksi di pentas Asia pada musim depan.
MFL melalui satu kenyataan rasmi pada bulan Ogos lalu mengesahkan slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang TM Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2021.
“Jika pemenang TM Piala Malaysia adalah pasukan yang telah menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021,” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan TM Piala Malaysia 2021 melalui pautan dibawah.
Bojan Hodak: “Kami Tidak Mempunyai 10 Pemain Import Macam JDT, Tiada Tekanan”
Final Piala Malaysia 2021: Hanya 9,000 Tiket Diperuntukkan Untuk Penyokong JDT Dan KL City
Piala Malaysia 2021: Tiga Jaringan Pantas Pastikan JDT Bergaya Ke Final
Piala Malaysia 2021: Penantian Ke Final Kuala Lumpur City Dinoktahkan
MKN Kekal Dengan Keputusan Tidak Benarkan Penyokong Makan Dan Minum Di Dalam Stadium