Seorang peminat pasukan Sabah disahkan meninggal dunia selepas pengsan ketika menyaksikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas semalam.
Baca Juga:
- JDT vs Sabah: Harimau Selatan Berpesta Gol Di Stadium Likas
- Laris! Tiket Aksi Sabah Menentang JDT Habis Dijual
- FAM Tolak Rayuan JDT Kurangkan Denda Pembakaran Suar
Menurut Harian Metro, lelaki berusia 39 tahun bernama Addny Elly itu dikatakan pengsan jam 8.27 malam, sejurus selepas pasukan Sabah menjaringkan gol pertama yang dihasilkan oleh Jafri Chew pada perlawanan itu.
“Kebetulan, saya bersama isteri duduk di kawasan sama (dengan lelaki terbabit) dan tiba-tiba, ada seorang lelaki tidak sedarkan diri. Saya kemudian segera ke tempat lelaki itu untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sambil cuba menghubungi doktor bertugas,” kata seorang sumber yang berada di stadium.
Lelaki tersebut terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Saya sudah buat yang termampu untuk membantunya termasuk memberi bantuan pernafasan selepas dia rebah di stadium (Likas), saya ucapkan salam takziah kepada keluarga yang ditinggalkan,” tambah sumber tersebut.
Tiket bagi perlawanan Sabah menentang JDT dilaporkan telah habis terjual dan seramai 15,000 penyokong memenuhi Stadium Likas semalam bagi menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi.
JDT sukar digugat apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan tuan rumah dengan keputusan 5-1 hasil jaringan daripada Juan Muniz, Heberty Fernandes dan jaringan hatrik dari Bergson da Silva.
Kemenangan semalam memastikan JDT kekal menghuni tangga teratas manakala Sabah menghuni tangga kelima.
Kami di Vocket FC mengucapkan takziah kepada keluarga keluarga Allahyarham Addny Elly.