Peminat pasukan Negeri Sembilan berasa hairan apabila salah seorang pemain import mereka, Herold Goulon selalu tidak dapat diturunkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baca Juga:

Baru-baru ini, Negeri Sembilan terpaksa menelan kekalahan besar ketika turun beraksi berdepan juara bertahan Liga Super itu dimana mereka tewas dengan keputusan 7-0.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan tidak dapat menurunkan Herold Goulon ekoran sebab yang tidak diketahui.

Menerusi tinjauan di laman media sosial, peminat ingin tahu mengapa perkara ini sering terjadi kerana mereka berpendapat khidmat pemain import seperti Goulon amat diperlukan ketika perlawanan besar seperti menentang JDT.

Peminat juga mahu ketua jurulatih, K. Devan untuk memberikan jawapan kepada perkara ini kerana sehingga saat ini mereka masih belum mendapat jawapan mengenai perkara tersebut.

Dalam perlawanan antara kedua-dua pasukan, Fernando Forestieri yang tidak dikawal pemain pertahanan tuan rumah berjaya menanduk masuk bola setelah menerima hantaran sepakan percuma daripada Leandro Velasquez.

JDT yang masih segar dengan dua kemenangan sebelum ini menambah gol kedua menerusi jaringan cantik daripada Diogo Santo untuk melebarkan kedudukan.

Memasuki minit ke-49, Forestieri menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini apabila beliau tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti berikutan kekasaran Tommy Mawat terhadap Arif Aiman Mohd Hanapi.

Empat minit kemudian giliran Arif Aiman pula mencetak nama selaku penjaring setelah beliau mudah menolak masuk bola hantaran lintang dilakukan Diogo Santo yang bijak melepasi perangkap ofsaid.

Tidak cukup dengan itu, Corbin-Ong menjadikan kedudukan 5-0 selepas menerima hantaran Forestieri pada minit ke-67 dan kemudiannya Endrick Dos Santos pula menyambar masuk bola untuk terus menambah kedukaan buat skuad kendalian K. Devan itu.

Ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan, Corbin-Ong mengambil kesempatan berikutan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang tidak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya untuk mudah menyempurnakan peluang sekaligus menutup pesta jaringan JDT dengan kemenangan 7-0.