Hari ini peminat bola sepak dunia dikejutkan dengan tragedi rusuhan besar-besaran yang melibatkan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Indonesia ketika perlawanan diantara Arema FC menentang Persebaya Surabaya semalam.
Ia adalah satu lagi sejarah hitam dalam bola sepak di negara itu dan difahamkan telah mengorbankan lebih 150 orang termasuk kanak-kanak serta anggota polis. Malah, kemudahan di stadium tersebut turut rosak teruk dan kenderaan polis telah dibakar.
Setelah keadaan menjadi tidak terkawal ekoran terlalu ramai penyokong yang memasuki padang, pihak polis menembak gas pemedih mata bagi meleraikan penyokong itu.
Bagaimanapun, netizen (warga maya) Indonesia mempersoalkan penggunaan gas pemedih mata oleh pihak polis ketika rusuhan tersebut berlaku.
Hal ini kerana menurut peraturan Badan Bolasepak Dunia (FIFA), penggunaan gas pemedih mata adalah dilarang dalam mana-mana perlawanan Liga Domestik atau peringkat antarabangsa.
“Padahal sudah jelas, peraturan dari FIFA penggunaan gas pemedih mata di Stadoum itu dilarang. Macam mana boleh digunakan di stadium dalam kuantiti banyak dan pintu keluar yang kecil, tulis salah seorang netizen di Twitter.
“Ini tear gas udah dibanned FIFA tapi kok polisi gak tau apa gimana?” warganet lain menimpali.
“Membawa gas air mata ke dalam stadion aja udah dilarang sama FIFA, ini malah ditembakin.” tulis penyokong dari Indonesia.
Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta menjelaskan pihaknya terpaksa menembak gas pemedih mata tersebut kerana para penyokong Arema bertindak lebih agresif dan turun ke padang sehingga membahayakan nyawa pemain serta para pegawai pasukan.
“Disebabkan gas pemedih mata, mereka keluar ke satu titik, di pintu keluar. Kemudian terdapat timbunan dan dalam proses pembentukan itu terdapat sesak nafas, kekurangan oksigen,” Nico dipetik dalam CNN Indonesia.
Malah, ada juga peminat bola sepak yang berpendapat gas pemedih mata tersebut menjadi punca kematian lebih 120 orang disebabkan oleh sesak nafas serta mempunyai kandungan berbahaya.