Disebalik kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Tajikistan di final Pestabola Merdeka 2023 semalam, nama Dominic Tan paling menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Aksi yang ditampilkan oleh pemain pertahanan Sabah itu mengundang pelbagai kecaman daripada peminat apabila didakwa menjadi punca Tajikistan berjaya menjaringkan dua gol.

Malah, laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan Dominic paling banyak menerima komen daripada peminat yang turut menyamakannya dengan pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire.

“Harry Maguire versi malaysia,” kata Mohd Hafizuddin

“Dominic nak main macam itu elok kamu masuk Man United, eloklah kawan dengan Harry Maguire,” kata Muhd Salihin.

Isu komunikasi antara Dominic dengan pemain lain dikatakan antara punca utama barisan pertahanan mudah melepaskan dua gol.

Ketika gol pertama Tajikistan, Dion Cools tidak memberitahu Dominic tentang ancaman, dan dia juga tidak melakukan track back awal.

Dominic Tan turut melakukan kesilapan asas bola sepak iaitu, pemain tidak mengikuti wisel. Dia mengangkat tangan meminta ofsaid dan itu membuatkan lariannya lebih lambat.

Begitu juga dengan gol kedua yang melibatkan masalah komunikasi antara Dominic dengan penjaga gol, Syihan Hazmi. Kegagalan Dominic melakukan tindakan awal mengundang kepada bahaya.

Disebabkan terlalu kecewa dengan aksi Dominic, segelintir warganet mencadangkan agar Kim Pan Gon memanggil pemain lain yang lebih layak seperti pemain pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam.

Ini adalah aksi yang Dominic perlu lupakan segera. Beliau harus bangkit mempamerkan prestasi lebih baik dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan November depan.