Kemampuan Malaysian Football League (MFL) menarik jumlah tajaan sebanyak RM33.428 juta bagi saingan 2021 ketika situasi penularan pandemik COVID-19 masih tidak menentu membuktikan Liga Malaysia ada nilai yang tinggi di kaca mata penaja.
Walaupun buat masa ini kehadiran penonton ke stadium masih tidak dibenarkan, situasi itu tidak menghalang MFL dalam mempengaruhi penaja-penaja berpotensi untuk membantu MFL bagi menjayakan Liga Malaysia 2021.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, melihat jumlah yang berjaya didapatkan oleh MFL adalah satu jumlah yang baik dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar ketika banyak pihak sukar mendapat penajaan mencukupi.
Malah, beliau menyifatkan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, sebagai penyelamat selepas berjaya mendapatkan satu tajaan yang mencukupi bagi memastikan Liga Malaysia tetap bernafas.
“Semua orang risau tentang penajaan Liga Malaysia dan tidak pasti sama ada MFL mampu atau tidak bagi menanggung kos liga pada musim ini kerana melibatkan jumlah dana yang besar.
“ Namun berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Presiden MFL (Datuk Haji Hamidin), bagi saya itu satu jumlah yang cukup baik bagi meneruskan kelangsungan Liga Malaysia.
“Bagi saya, Datuk Hamidin adalah penyelamat Liga Malaysia yang kini sedang lalui fasa yang semua pihak amat bimbangi ekoran penularan pandemik COVID-19 yang membuatkan semua pihak terkesan.
“Kelab-kelab juga kena mainkan peranan tersendiri serta tidak boleh mengharapkan bantuan daripada MFL semata-mata terutama dalam hak penyiaran dan perlu ada inisiatif dalam menjana kewangan,” katanya.
Sementara itu, Azman Ibrahim, yang merupakan bekas pengurus Kelantan berkata, apa yang dicapai oleh MFL itu wajar dicontohi oleh pasukan lain agar tidak berputus asa dalam soal mendapatkan penajaan.
Beliau juga memuji Datuk Haji Hamidin yang bekerja keras serta gigih bagi mendapatkan jumlah tajaan yang telah didedahkan sebelum Liga Malaysia bermula pada 5 Mac ini.
“Bagi saya nilai ini adalah sesuatu yang tinggi jika hendak dilihat situasi pada masa kini dan apabila Datuk Haji Hamidin mengumumkan jumlah itu pada sidang media, jadi beliau memang yakin dengan angka tersebut.
“Datuk Haji Hamidin berjaya melakukan tugas yang baik dalam soal ini sebagai Presiden MFL dan mungkin pihak lain kena belajar sesuatu terutama pasukan kelab dalam soal mencari penaja, ” katanya.
Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin pada Isnin mengumumkan jumlah keseluruhan penajaan bagi saingan Liga Malaysia musim ini adalah sebanyak RM33.428 juta.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan jumlah itu bakal bertambah kerana masih terdapat beberapa perbincangan tajaan yang belum dimuktamadkan sambil berkata pengumuman itu dibuat bagi memastikan semua pihak memahami secara jelas mengenai perkara itu selepas tahun lalu jumlah berkenaan tidak diberitahu kepada umum.