Pemegang taruh Malaysian Football League (MFL) tetap menaruh kepercayaan tinggi kepada badan penganjur liga itu meskipun berdepan musim yang mencabar tanpa baki kedua hak penyiaran pasukan tahun ini.
MFL dalam satu kenyataan mengumumkan ketiadaan pendapatan hak penyiaran Liga Malaysia sepanjang musim 2019 yang menyaksikan baki kedua hak penyiaran tidak dapat diagihkan kepada semua rakan kongsi.
Menurut Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, beliau memahami situasi yang melanda MFL pada musim ini tanpa penaja utama sekaligus menyebabkan kesukaran untuk menyelesaikan hak penyiaran pasukan.
“Saya rasa semua pasukan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan bermula pada sekarang kerana tahun ini, kita semua sudah jelas tentang hak penyiaran kedua yang tidak dapat diagihkan.
“Daripada kita terus mencari salah, saya rasa semua perlu terus mengorak langkah untuk persiapan pasukan masing-masing pada musim depan kerana saya percaya sinar baru akan hadir untuk semua pihak termasuklah MFL sendiri.
“Kami sebagai pemegang taruh akan terus menyokong MFL serta membantu daripada segi pandangan dan idea supaya liga bola sepak kita akan lebih mantap pada musim depan,” jelasnya.
Turut senada dengan Afizal adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri yang menyifatkan pasukan Perak sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan.
Beliau yang baru sahaja memegang jawatan Setiausaha Kehormat menggantikan Tajul Hasnan Omar menjelaskan PFA tetap meneruskan perancangan sendiri bagi mempersiapkan pasukan pada musim depan selain percaya MFL akan bergerak lebih proaktif pada tahun 2020.
“Nak katakan hak penyiaran tu tiada terus tidak boleh juga kerana semua pasukan tetap mendapat hak penyiaran pertama sebelum ini dan kami percaya MFL akan terus berusaha membantu semua rakan kongsi pada musim depan.
“Melihat kepada situasi yang berlaku tahun ini, Perak sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan untuk memastikan pasukan tidak akan terjejas jika ada apa-apa masalah di saat akhir.
“Sekarang kita fokus sahaja untuk persiapan pada musim depan dan kami sudah punya perancangan sendiri untuk kita mempersiapkan skuad terbaik”, katanya.
Baca artikel lain mengenai MFL yang telah kami sediakan di sini:
MFL Luluskan Pertukaran Status Pemilikan Selangor United Kepada Sarawak United