Saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 nyata berjaya menarik ribuan peminat sukan tersebut untuk membanjiri lokasi perlawanan pada setiap minggu.
Baca Juga:
- STL 2023: Atasi KPT-MASUM, Perak Bison Sahkan Kejuaraan
- STL 2023: Perak Bison Tekad Teruskan Momentum Cemerlang Buru Kejuaraan
- STL 2023: Perak Bison Rampas Kedudukan Teratas Selepas Tundukkan KL Thunder
Bermula dari Kuala Kangsar ke Bayan Baru kemudiannya diadakan di Seremban dan Stadium Titiwangsa menjadi lokasi tetap selepas itu tidak putus-putus menerima kehadiran penyokong.
Kemuncaknya pada perlawanan akhir Challenge Cup 2023 pada Ahad lalu yang menemukan Penang Black Panthers dan Perak Bison turut menggamit kehadiran ribuan penyokong.
Telah diketahui Penang Black Panthers dengan cemerlang menghalang Perak Bison daripada menjadi juara berganda untuk menjulang trofi Challenge Cup, namun sudah pasti keputusan pengadil pada lewat aksi mencuri perhatian ramai.
Hal ini kerana keputusan juri ketika ‘challenge’ diminta oleh Penang Black Panthers telah memberikan mata kepada pasukan tersebut sedangkan kaki apit kanan (perejam) mereka, Aekasit Naphon sudah pun melepasi jaring.
Keadaan yang nyata telah membuatkan kem Perak Bison serta penyokong setia mereka berang dengan keputusan diambil oleh pengadil perlawanan apatah lagi trio Jakkrit Thinbangbon, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi pada ketika itu cuba untuk merapatkan jurang mata.
Malah, insiden itu juga turut tular di media sosial yang menyaksikan pengadil perlawanan, Amar Asyraf mendapat kritikan hebat.
Bagi menceritakan keadaan sebenar, pembantu pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut iaitu Mohd Zahri Ramzan telah memberikan penjelasan berhubung insiden itu.
Ia merupakan penjelasan peribadi beliau dan bukan kenyataan rasmi daripada pihak STL, Persatuan Sepak Takraw Malaysia mahupun penganjur.
Menurut Mohd Zahri menurut sumber laman Facebook peribadinya, beliau sudah pun membatalkan kuisan daripada Aekasit dan Amar juga memberikan mata buat Perak Bison.
Bagaimanapun keputusan tersebut diubah oleh juri sehingga memaksa Amar Asyraf memberikan keputusan sebaliknya untuk memihak Penang Black Panthers.
“Pengadil umum (Penang Black Panthers “Challenge” hadangan/blocking melepasi jaring). Pihak juri pula mengambil tanggungjawab untuk melihat semula ulang tayang samada kaki melepasi jaring atau tidak.”
“Kami kesemua pengadil di dalam gelanggang termasuk Pengadil Rasmi (yang dibelakang pengadil & pegang ‘walkie-talkie’) serta penonton di stadium tidak ada skrin untuk melihat semula ulang tayang tersebut melainkan pihak juri dan penonton di rumah.”
“Apabila pihak juri memberi keputusan melalui Pengadil Rasmi (PR) menggunakan Walkie-talkie… “Bantahan diterima kaki melepasi jaring” secara automatik mata adalah untuk Penang Black Panthers (pengadil berpendapat kaki pemain Perak yang melepasi jaring).”
“Disini bermulanya ketidakpuasan hati pihak pengurusan dan kejurulatihan Perak Bison. Datang Pengurus Perak Bison di belakang Pengadil Rasmi (PR) minta untuk “Challenge” dilihat semula dan Pengadil Rasmi telah menghubungi sekali lagi pihak juri dan keputusan JURI masih sama. Pengadil mengarahkan pemain meneruskan perlawanan.”
“Dalam situasi ini, sesiapapun akan menyalahkan Pengadil (P), Pembantu Pengadil (PP), Pengadil Garisan (PG), dan Pengadil Rasmi (PR) kenapa masih meneruskan perlawanan dan x bantah keputusan juri.”
Sebabnya, selain keputusan Pengadil adalah muktamad, Keputusan JURI juga adalah muktamad. Kami Pengadil di dalam gelanggang tiada skrin ‘monitor’ untuk tgk semula ulang tayang selain juri dan Penonton siaran langsung di kaca televisyen.”
“Keputusan “Challenge” bukan dari kami dan kami bergantung 100% dari keputusan juri sebab kami x tengok pun ulang tayang tersebut.”
Secara keseluruhannya STL 2023 mendapat sambutan cukup hangat sehingga menarik minat pelancong luar negara untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir KL Thunder menentang Perak Bison.
Namun, beberapa elemen seperti isu pengadilan sentiasa mendapat kritikan para penyokong dan diharapkan ia mampu diperbaiki.