Isu tunggakan gaji yang dialami oleh pasukan TRW Kelantan ketika ini nyata memberi kesan mendalam terhadap pemain apabila ada pemain yang hanya mampu memakan mi segera berbanding makanan sihat.

Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang pemain iaitu Yusri Yuhasmadi dimana beliau memuat naik gambar baru-baru ini yang menunjukkan pemain sedang menikmati menikmati hidangan mi segera.

“Macam mana nak gagah kalau makan mi segera setiap hari,” katanya di Instagram.

TRW Kelantan
Sumber Gambar: Yusri Yuhasmadi

TRw Kelantan terus menjadi pasukan belasahan apabila tewas dengan keputusan 8-0 ketika turun menentang pasukan Perak dalam saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu lalu.

Antara beberapa siri kekalahan terbesar Kelantan musim ini ialah tewas kepada Terengganu dengan keputusan 8-0, tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 15-1 dalam aksi 16 pasukan terakhi Piala Malaysia 2023 dan tewas kepada Selangor dengan keputusan 11-2.

Sebelum ini, terdapat gambar tular di media sosial yang dikongsikan oleh para penyokong setia Kelantan mengenai penutupan padang latihan pasukan itu di Pejabat Pertanian Lundang, Kota Bharu sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan.

Ada juga penyokong yang mendakwa TRW Kelantan tidak mampu membayar sewa bulanan dan kini dihalang daripada memasuki kawasan itu.

Difahamkan sudah dua kali pihak jabatan Pertanian menutup kawasan itu dalam tempoh 5 bulan. Kali terakhir laman Facebook rasmi TRW Kelantan memuat naik gambar sesi latihan di padang tersebut adalah pada 12 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Ahmad Muzakkir Hamid sempat menjawab pertanyaan peminat dan menjelaskan mereka kini telah tukar lokasi padang latihan lain kerana kadar sewa yang lebih rendah.

“Mengenai padang latihan Kelantan FC, kita telah berpindah ke padang baru yang mana kadar sewanya lebih rendah,” jelas Ahmad Muzakkir.