Skuad TRW Kelantan FC terus dirundung masalah namun kali ini melibatkan padang latihan mereka. Pasukan itu tidak lekang dengan pelbagai kontroversi sepanjang musim 2023.
Baca Juga:
- Natanael Siringoringo Ambil Tindakan Undang-Undang Ke Atas TRW Kelantan
- Individu Ini Nasihati Andik Vermansah Agar Tidak Sertai TRW Kelantan
- Lagenda TRW Kelantan Anggap Masalah Kali Ini Terlalu Berat
Terdapat gambar tular di media sosial yang dikongsikan oleh para penyokong setia Kelantan mengenai penutupan padang latihan pasukan itu di Pejabat Pertanian Lundang, Kota Bharu sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan.
Ada juga penyokong yang mendakwa TRW Kelantan tidak mampu membayar sewa bulanan dan kini dihalang daripada memasuki kawasan itu.
Difahamkan sudah dua kali pihak jabatan Pertanian menutup kawasan itu dalam tempoh 5 bulan. Kali terakhir laman Facebook rasmi TRW Kelantan memuat naik gambar sesi latihan di padang tersebut adalah pada 12 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Ahmad Muzakkir Hamid sempat menjawab pertanyaan peminat dan menjelaskan mereka kini telah tukar lokasi padang latihan lain kerana kadar sewa yang lebih rendah.
Ianya sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai kegagalan pasukan itu membayar sewa untuk menggunakan padang latihan tersebut.
“Mengenai padang latihan Kelantan FC, kita telah berpindah ke padang baru yang mana kadar sewanya lebih rendah,” jelas Ahmad Muzakkir.
Muzakkir menerusi kenyataan dalam Berita Harian turut mengakui kadar sewa padang pertanian Lundang tersebut agak tinggi dan pihaknya terpaksa menyusun semula kewangan pasukan.
“Padang latihan lama itu memang kadar sewa tinggi, sekarang kewangan kita terhad dan sudah tentu kita nak cari padang yang lebih fleksibel sedikit,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan TRW Kelantan berdepan masalah kewangan termasuk menghadapi masalah bayaran gaji pemain yang tertunggak selama beberapa bulan.