Bekas pemain TRW Kelantan, Nor Farhan Muhammad mempersoalkan pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham sama ada beliau masih ragu-ragu untuk berbelanja besar bagi memperkuatkan pasukan.

Baca Juga:

Farhan berkata demikian setelah aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2022 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyaksikan lebih 20 ribu penyokong membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV.

Meskipun penyokong memenuhi stadium sama seperti ketika zaman kegemilangan pasukan, namun Kelantan terpaksa akur dimana mereka tewas dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Bergson Da Silva, Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez sekaligus berdepan tugas sukar bagi menghadapi aksi timbak balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November ini.

“Melihat fenomena peminat TRW Kelantan kembali ke stadium membuat saya tertanya-tanya, adakah Boss Zam (Zamsaham) masih ragu-ragu untuk berbelanja besar bagi membina pasukan yang lebih kuat sekaligus mampu bersaing pada musim 2023?

“Sasaran 5 pasukan terbaik masih ragu-ragu? Ayuhlah. Penyokong dah buktikan mereka ‘Rapak Pagar’. Semoga cemerlang pada musim 2023. Selamat maju jaya TRW,” kata Nor Farhan.

Norizam kemudiannya memberikan jawapan kepada desakan Farhan menerusi laman media sosial Facebook miliknya dimana beliau menegaskan pasukannya akan berbelanja mengikut kemampuan sedia ada buat masa ini.

“Ada yang mahu saya belanja besar untuk tahun hadapan. Biarlah kita berbelanja pada nilai dan semampunya untuk masa ini. Berapa banyak kelab yang sebelum ini telah berbelanja besar, tak ikut kemampuan akhirnya terkubur?

Musim 2022 merupakan musim kedua Kelantan dibawah kelolaan Zamsaham dan musim ini mula menampakkan hasil apabila pasukan itu menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Premier sekaligus layak ke Liga Super musim hadapan dan layak untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.