Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) dilaporkan bakal bawa masuk seorang pemain tengah dari Bahrain, Khalifa Issa Allafi apabila  jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka awal bulan depan.

Khidmat pemain yang berusia 22 tahun itu sangat ditagih bagi membantu merencanakan jentera serangan Tok Gajah yang agak pincang selepas kecederaan pemain import Brazil, Lucas Silva.

Menurut laporan daripada Berita Harian, pemain itu sudah bersetuju untuk menyertai Sri Pahang dan dijangka akan mengisi kuota pemain import Asia menggantikan tempat Sherzod Faziyev.

“Memang benar Khalifa Issa yang bermain di posisi tengah bersetuju untuk menyarung jersi skuad Tok Gajah menerusi memorandum persefahaman (MoU).

“Kini, kelab hanya menantikan kehadirannya kerana Sri Pahang memang memerlukan pemain tengah berkualiti dalam usaha memperkasa pasukan,” kata sumber SPFC.

Khalifa juga dilaporkan telah meninggalkan kelabnya, Manama Club yang beraksi di Liga Perdana Bahrain untuk berhijrah ke Liga Malaysia.

Malah, beliau juga sudah mengikuti akaun instagram rasmi Sri Pahang sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai kemasukan pemain tengah skuad bawah 23 tahun Bahrain tersebut.

Selepas 14 perlawanan, Tok Gajah kekal berada dalam kelompok 5 teratas Liga Super dengan 28 mata di tangga keempat terikat dengan pencabar terdekat, Kedah di tangga ketiga.

Dengan kemasukan Khalifa Issa, jentera tengah Sri Pahang dijangka bertambah mantap untuk membantu memburu kedudukan ketiga teratas Liga Super.

Selain Khalifa Issa, mereka juga dikatakan akan membawa masuk seorang lagi penyerang import bagi menggantikan tempat Lucas Silva yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.