Kawalan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pemain skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) telah diterapkan sepanjang saingan Kelayakan AFC B-16 berlangsung bagi memastikan mereka lebih berdisiplin dan mental berada di tahap terbaik.

Menurut ketua jurulatih Malaysia B-15, P. Maniam, anak buahnya hanya dibenarkan menggunakan telefon masing-masing pada hari jumaat malam dan hari minggu.

“Pemain tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, hanya dibenarkan pada Jumaat malam dan hari minggu. Pada waktu perlawanan pula telefon bimbit masing-masing akan diambil pada jam 9 malam dan mereka langsung tidak dibenarkan memegang atau menggunakan telefon pada hari perlawanan.

“Ini penting untuk mengawal kekuatan mental mereka terutama dengan pengaruh kuat media sosial ketika ini,” dedah Maniam dalam laman facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

69995899_2377692112327539_2235781879183704064_n
Barisan jurulatih skuad Malaysia B-15 komited untuk memastikan pemain lebih bersedia pada hari perlawanan. FOTO: FAM

Sementara itu, dua tonggak utama skuad Malaysia B-15, Mohamad Khairil Mohd Zain dan Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin menyimpan impian untuk membawa negara beraksi dalam Kejohanan Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun.

Kedua-dua penyerang berusia 15 tahun itu berkata tidak salah untuk mereka mengambil pendekatan positif kerana berbekalkan keyakinan tinggi tidak mustahil misi itu dapat dicapai.

“Apa yang kami lihat, pasukan sudah berada di landasan tepat untuk ke Piala Dunia. Kalau dilihat dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Kemboja, Jepun dan Laos, kami boleh beri tentangan pada negara-negara ini.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah pada saingan lawan terutama Jepun. Apa kesilapan serta kekurangan yang kami pelajari di Chonburi terutama dalam mengawal kesabaran, mental serta emosi akan kami perbetulkan,” kata Khairil yang berasal dari Tawau, Sabah.

67481832_2300134760083275_8197025176966135808_n
FOTO: FAM

Nabil yang meraih gelaran penjaring terbanyak negara dengan meledak lima gol dalam Kejohanan AFF B-15 di Chonburi berkata pengalaman mengawal emosi serta perang psikologi ketika menentang Thailand adalah sangat berharga.

“Jujurnya itu adalah pertama kali saya berlawan dalam suasana yang gamat dengan sokongan serta jeritan tuan rumah, Thailand. Saya ingat apa yang jurulatih (P. Maniam) pesan untuk sentiasa tenang dan positif. Suasana itu akan saya ingat sampai bila-bila.

“Apapun berbekalkan semangat pasukan, mengikut taktikal jurulatih, keyakinan tinggi dan paling penting sokongan rakyat Malaysia, kami berharap untuk melakar satu lagi kejayaan di Pusingan Kelayakkan Kejuaraan B-16 AFC 2020,” katanya yang berasal dari Puchong, Selangor.

Malaysia akan membuka kempen kalayakan AFC B-16 menentang Kemboja pada hari rabu ini. Selepas itu, tuan rumah, Laos menanti mereka pada 20 September sebelum membuat penghitungan dengan gergasi Asia, Jepun pada 22 September ini di Stadium Nasional Vientiane.

Apapun sememangnya tiada istilah rehat buat skuad kebangsaan B-15 ini kerana sejurus selepas pulang dari bertempur di Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 di Kemboja nanti, mereka akan menduduki peperiksaan PT3 hujung September ini.

Baca artikel mengenai prestasi skuad Malaysia B-15 ketika dalam kejohanan jemputan antarabangsa di China dan kejohanan AFF B-15 bulan lepas.

Skuad Malaysia B-15 Juara Kejohanan Antarabangsa CFA Selepas Tewaskan Korea Utara

Tandukan Nabil Qayyum Pastikan Malaysia Juara AFF B-15

Australia Tewas Mengejut Ditangan Anak Buah P. Maniam