Meskipun terikat 1-1 ketika menentang Laos semalam, peluang skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) untuk mara ke peringkat separuh akhir dalam Kejohanan AFF B-15 agak cerah selepas pesaing terdekat, Thailand terikat 1-1 dengan Australia.
Berdasarkan kedudukan terkini, skuad kendalian P. Maniam itu masih unggul di tangga teratas dalam kumpulan B dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini manakala Thailand berada ditangga kedua dengan 10 mata yang sama tetapi kedudukan mereka dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Justeru itu, skuad negara hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir esok. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan sahaja yang akan mara ke peringkat yang seterusnya.
Bagimanapun, Australia yang menghuni di tangga ketiga dengan 7 mata masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir dengan syarat mereka perlu menewaskan Brunei dengan jaringan 9-0 pada aksi terakhir sambil berharap Thailand menewaskan Malaysia, 3-0 untuk mara melalui pengiraan perbezaan jaringan.
Jika dilihat pada prestasi terkini, anak buah P. Maniam mampu menewaskan Thailand selepas mereka mengejutkan tiga pasukan gergasi Asia seperti Iran (2-0), Korea Utara (2-1) dan Australia (3-0).
Di peringkat separuh akhir, juara kumpulan B dijangka akan bertemu Vietnam manakala naib juara pula akan bertemu pasukan Indonesia. Aksi separuh akhir akan berlangsung pada 7 Ogos 2019 (Rabu) manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga/keempat akan diadakan pada 9 Ogos 2019 (Jumaat) di venue yang sama.