Berpegang kepada prinsip tiada individu lebih besar daripada satu-satu pasukan atau organisasi, bekas tonggak negara skuad 1980, Dato’ Jamal Nasir Ismail, berkongsi sentimen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak mahu mengambil jalan pintas dalam memilih pemain untuk menganggotai pasukan kebangsaan.
“Tiada pemain yang boleh menyelitkan diri dalam skuad utama secara automatik tanpa diberi penilaian menyeluruh oleh jurulatih. Bagi pemain yang berpangkalan di luar, kita mahu mereka secara sukarela menyatakan minat untuk mewakili negara.
“Andainya mereka datang dengan sukarela, mereka haruslah mematuhi garis panduan dan peraturan sedia ada, misalnya SOP berkaitan COVID-19 dan proses dokumentasi kewarganegaraan. Mereka juga haruslah diwajibkan menjalani proses penilaian teknikal agar mereka nanti bukan sekadar menawarkan nilai tambah tetapi menjadi teras dan tulang belakang pasukan,” kata Jamal.
Rakan seangkatan Jamal ketika beraksi dahulu, Khalid Ali juga mengalunkan nada yang sama.
“Kita hidup kena ada peraturan. Pemain ikut cakap jurulatih. Anak ikut cakap mak ayah.Prinsip asas ini perlulah difahami dan dipatuhi oleh semua individu yang berminat untuk menyarung jersi Malaysia. Sama ada dia bermastautin di luar negara, dia pernah mewakili England Bawah 15 tahun, dia lahir di Brazil atau dia dibesarkan di Selangor.
Khalid turut memuji keputusan pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, untuk mengikut proses dan peraturan sedia ada untuk kembali ke tanah air, menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan, melaporkan diri ke latihan pusat skuad Bawah 19 tahun negara dan membuktikan kemampuannya di depan jurulatih, Brad Maloney.
“Semangat yang dipamerkan oleh Wan Kuzri boleh dijadikan contoh,” katanya.
Terdahulu Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menegaskan bahawa FAM tidak akan melanggar peraturan sedia ada, sama ada dari sudut SOP, proses dokumentasi yang ditetapkan kerajaan mahupun proses dalaman FAM semata-mata untuk memenuhi hasrat mana-mana individu.
Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:
Kehadiran Wan Kuzri Di Sesi Latihan Skuad Malaysia B-19 Curi Tumpuan