Sesi latihan skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) kendalian Brad Maloney di Wisma FAM petang semalam disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Lebih menarik, kehadiran adiknya, Wan Ahmad Kuzri di sesi latihan tersebut telah mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari.

Kuzri yang beraksi dengan kelab St. Loius FC dalam saingan USL Championship di Amerika Syarikat mengakui sangat teruja apabila mendapat panggilan untuk menyertai skuad negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada bulan Oktober ini.

“Saya rasa sungguh dihargai jika berpeluang mewakili Malaysia mahu pun Amerika Syarikat. Walaupun sebenarnya tidak banyak yang saya tahu mengenai skuad negara, tetapi saya datang ke sini dengan fikiran yang terbuka dan berharap mampu menyesuaikan diri dengan pasukan.

“Bagi saya, sukan bola sepak adalah satu sukan yang universal dan oleh sebab itu rasanya saya boleh mempamerkan aksi sama sebagaimana ketika di Amerika Syarikat,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian. 

107810928_3039562086140535_1736410210527254525_o
FOTO: FAM

Seperti yang diketahui oleh para peminat bola sepak tempatan, beliau juga merupakan adik kepada bintang muda, Wan Kuzain yang pernah dipanggil menyertai sesi latihan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) sebelum ini namun tidak terpilih kerana masalah dokumentasi.

Bagaimanapun, Kuzri menjelaskan beliau dan abangnya merupakan pemain yang berbeza dari segi corak permainan serta lebih kepada “attacking midfield”.

“Di Amerika Syarikat, saya sering berdepan dengan aksi berbentuk fizikal dengan pemain-pemain lain.

“Mungkin ada yang akan membandingkan saya dengan abang saya, Wan Kuzain, tetapi kami sebenarnya pemain yang berbeza. Saya rasa saya pemain yang kreatif dan boleh menjaringkan banyak gol kepada pasukan,” katanya.

Kehadiran Wan Kuzri bersama beberapa pemain lain seperti Zachry Raiff, Mukhairi Ajmal dan Firdaus Kaironissam diharapkan dapat memantapkan lagi jentera tengah skuad negara.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas Piala Dunia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad bawah 19 tahun negara melalui pautan dibawah.

Skuad Malaysia B-19 Dapat Tawaran Sertai Kejohanan Jemputan Di Turki Dan Perancis

Kerajaan Uzbekistan Lanjutkan Tempoh ‘Lockdown’, Kejohanan AFC B-19 Berisiko Ditunda

Reezal Merican: Prestasi Malaysia Dalam AFC B-19 Jadi Kayu Pengukur Keberkesanan NFDP