Kelab Liga Korea, Ulsan Hyundai memohon maaf setelah dua pemain mereka mengeluarkan komen berbaur perkauman di laman media sosial baru-baru ini.
Baca Juga:
- Pemain Ulsan Hyundai Keluarkan Komen ‘Racist’ Terhadap Pemain Dari Asean
- ‘Racist’ Terhadap Kyogo Furuhashi, Rangers Larang Penyokong Hadir Ke Stadium
- Selalu Dihina Dan Serangan “Racist” Faktor Utama B.Satianathan Buat Laporan Polis
Menurut perkongsian Korean Football News di laman media sosial Twitter, pemain Ulsan Hyundai yang dimaksudkan ialah Park Yong-woo dan Lee Kyu-seong dimana kedua-dua pemain memanggil salah seorang rakan sepasukan, Lee Myeong-jae sebagai ‘Sasalak’ atau ‘Kuota Asean’ kerana memiliki kulit yang gelap.
Perkara ini nyata mendapat kritikan daripada peminat bola sepak Asia dan mahu Ulsan untuk segera mengambil tindakan terhadap dua pemain itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ulsan memohon maaf di atas perbuatan pemain mereka dan memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berulang pada masa akan datang.
Antara langkah yang diambil oleh pihak kelab ialah memberi kesedaran mengenai isu perkauman kepada pemain dan pegawai pasukan.
Selain itu, Ulsan turut memohon maaf kepada pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon yang menjadi objek kepada komen perkauman oleh kedua pemain.
Yang terakhir, pihak kelab akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kejadian yang berlaku dan kemudiannya memberi hukuman yang setimpal kepada dua pemain terbabit.
Tindakan Yong-woo dan Kyu-seong nyata mendapat kecaman daripada peminat dimana mereka berpendapat kedua-dua pemain tidak sepatutnya membuat komen tersebut yang dianggap menghina pemain dari Asia Tenggara.
Akan tetapi, ada juga peminat yang tidak terkejut dengan komen dua pemain itu kerana Korea Selatan sememangnya terkenal dengan sifat perkauman, khususnya dengan individu yang mempunyai kulit gelap.