Tatkala pemain lain kekal bersama keluarga di rumah, ada yang perlu berkorban masa demi berkhidmat untuk negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.
Tugas itu dipikul pemain pertahanan pasukan Liga M3, Armed Forces FC, Sharzizi Azmi daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi salah seorang anggota bertanggungjawab untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh PKP di Kuala Lumpur.
Paling mencabar buat pemain berusia 35 tahun itu bukanlah daripada segi tugas, tetapi daripada aspek masa bersama keluarga apabila isterinya juga merupakan barisan hadapan negara yang bertugas sebagai jururawat.
“Betul, isteri saya merupakan seorang jururawat dan dia juga jarang berada di rumah, jadi masa yang ada antara kami sekeluarga memang tidak banyak.
“Tetapi tugas harus dilaksanakan dan kami berdua memahami tanggungjawab masing-masing untuk rakyat Malaysia bagi mengatasi wabak ini.
“Setakat ini, anggota tentera yang bertugas tiada masalah dalam membantu pihak PDRM dan tiada lagi isu-isu terlampau besar
membabitkan orang awam yang perlu kita ambil tindakan berat.
“Cuma, tahap kedegilan tu masih ada dan baik PDRM dan kami sendiri perlu bertegas untuk mereka semua ini tidak keluar rumah sesuka hati,” jelasnya.
Sudah pasti, Sharzizi bersama rakan sepasukan lain rindu untuk beraksi di padang apatah lagi Armed Forces FC ketika ini memulakan saingan dengan baik untuk berada di tangga kedua liga selepas dua perlawanan.
Justeru, dia enggan pencapaian yang diraih terhenti setakat itu sahaja dan mengharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha menangani wabak COVID-19 ini.
“Kalau kita sama-sama terus kuat lawan wabak ini, saya percaya semuanya akan pulih dengan segera dan semua pasukan dapat kembali beraksi.
“Sekarang pun kami di tangga kedua, jadi ia tidak patahkan semangat kami untuk terus beraksi cemerlang selepas ini, cuma yang penting sekarang adalah kesihatan dan keselamatan semua orang,” katanya.
Kuala Lumpur Rovers kekal di tangga teratas liga amatur Liga M3 dengan perbezaan dua mata untuk meletakkan AFFC di tempat kedua manakala Langkawi City FC di kedudukan ketiga.
Semua saingan domestik ditangguhkan oleh Malaysian Football League (MFL) sejak 16 Mac lalu akibat wabak COVID-19 termasuk Liga M3 dibawah kelolaan Amateur Football League (AFL).
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
FAM: Kenyataan Asmirul Hanya Mahu Menutupi Kesilapan Sendiri
TMJ Tampil Pertahankan JDT, Tegaskan Hanya Mahu Bela Nasib Pemain