Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) tidak akan memilih ahli perniagaan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekiranya Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan beliau.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad berkata meskipun Amril menyatakan hasrat untuk menjadi Presiden KAFA, namun beliau belum bertemu dengan PBJ yang lain bagi berbincang.

Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz
Sumber Gambar: Sinar Harian

“Dia bukan calon dari PBJ , dia hanya menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani, kami ahli gabungan Kafa tidak akan melantik dia sebagai calon presiden.

“Kami sudah mempunyai calon sesuai, perbincangan dengan individu itu sudah berlansung dan dia menunjukkan respon positif untuk terlibat dalam memulihkan imej bola sepak Kelantan,” katanya menurut laporan Utusan.

Amril sebelum ini menggesa Bibi Ramjani untuk berundur daripada kerusi presiden dan memberikan laluan kepada individu lain untuk menerajui KAFA.

presiden-bibi-ramjani
Sumber Gambar: Stadium Astro

Amril menyatakan beliau bersedia untuk menjadi Presiden dan membantu persatuan itu menyelesaikan masalah kewangan yang berada dalam keadaan serius ketika ini sambil memperbaiki mutu bola sepak di negeri Kelantan.