Tujuh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) akan menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mendesak presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk melepaskan jawatan.
Bibi sebelum ini meminta PBJ untuk menghantar surat desakan kepadanya sekiranya mahu beliau melepaskan jawatan sebagai presiden KAFA. PBJ memberi maklum balas dan mereka akan menghantar surat tersebut pada minggu hadapan.
Tujuan surat tersebut bukan hanya meminta Bibi untuk berundur, malah PBJ turut meminta KAFA untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memilih presiden baharu untuk menggantikan Bibi Ramjani selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.
“Kami sedang menyelesaikan dua, tiga perkara lagi dan selepas itu kami akan maklumkan. Apa yang pasti kami akan hantar surat kepada KAFA.
“Sudah tentu kami tidak akan bergerak seorang diri dan ketujuh-tujuh PBJ akan hantar surat itu. Insya-Allah minggu depan,” kata Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad kepada Berita Harian.
Ada beberapa pihak yang berminat untuk menggantikan Bibi sebagai presiden KAFA yang baharu. Antaranya ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz yang menyatakan kesediaan beliau untuk membantu KAFA mengurangkan beban hutang sekaligus menyelamatkan bola sepak Kelantan.