Peminat bola sepak tempatan bakal ketahui nasib 14 kelab Liga Super terutamanya pasukan yang menghadapi masalah tunggakan gaji pada 19 Oktober ini.

Baca Juga:

Ia adalah tarikh dimana Unit Pelesenan Kelab MFL, First Instance Body (FIB) akan mengumumkan pasukan yang berjaya meraih lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim 2024/25.

Melalui pengumuman tersebut, pasukan yang ‘sangkut’ dalam pembayaran gaji pemain bakal diketahui jika mereka tidak memenuhi kriteria MFL dari segi kewangan.

“Kita harap semua pasukan yang bertanding dalam Liga M tahun ini memahami kriteria pelesenan kerana ia bukan perkara baharu.

“Tahun lalu pun kita ambil keputusan yang tegas dan perkara itu akan disambung untuk tahun ini bagi memastikan liga kita tidak mengalami isu gaji.

“Semua pasukan sudah melengkapkan dokumen, sekarang adalah proses untuk meneliti maklumat dalam dokumen,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Super alami kelewatan gaji antara sebulan hingga tiga bulan yang nyata menyukarkan kehidupan pemain.

MFL juga tidak akan memberi lesen kebangsaan kepada pasukan yang masih gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji seperti terjadi kepada pasukan Melaka United dan Sarawak United tahun lalu.

“Keutamaan kami adalah kestabilan liga dan perkara yang kita mahu elak adalah isu tunggakan gaji yang sering melanda. Tahun lalu kita ambil langkah awal untuk denda pasukan atau menolak mata dan pada penghujungnya tidak diberi lesen kepada dua pasukan.

“Kami harap tahun ini perkara itu dapat dielakkan tetapi mungkin ada khabar angin perkara ini berlaku lagi dan kami akan ambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan kita dapat melaksanakan satu liga tanpa isu ini,” katanya.