Menjelang saingan Liga Malaysia musim 2020, PKNS FC dilihat semakin hampir untuk bertukar status dan menjadi feeder club kepada pasukan Selangor dan perkara ini sudah pasti memberi kesan kepada barisan pemain skuad The Red Ants.
Melihat kepada situasi semasa yang dihadapi oleh PKNS FC, pemain bintang pasukan seperti penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Kpah Sherman dijangka bakal meninggalkan kelab tersebut dan terdapat ura-ura beberapa pasukan yang beraksi di Liga Super berminat untuk mendapatkan khidmat Kpah.
Sebelum ini, Kpah dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu FC bagi menggantikan Kipre Tchetche yang sedikit bergelut menampilkan persembahan terbaik musim ini. Namun, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyatakan Kpah sudah dirisik oleh pasukan lain menyebabkan mereka membatalkan niat untuk mendapatkan penyerang dari Liberia itu.
Selain TFC, sebuah lagi pasukan dari pantai timur dikatakan turut berminat untuk menandatangani Kpah bagi menajamkan lagi jentera serangan. Akan tetapi, tiada sebarang keputusan dibuat memandangkan pasukan tersebut masih lagi beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Dalam saingan Liga Super musim ini, Kpah berjaya mengetepikan cabaran daripada penyerang termahal Liga Malaysia, Dioho Luis Santo yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim dan penyerang Selangor, Ifedayo Olesegun untuk muncul sebagai penjaring terbanyak dengan catatan 14 gol.
Sebelum beraksi bersama PKNS, Kpah terlebih dahulu menyarung jersi MISC-Mifa selama dua musim dan membantu kelab yang bertukar nama kepada Petaling Jaya City FC itu mara ke saingan Liga Super musim 2019.
Baca artikel lain mengenai Kpah Sherman di sini:
Gol Tunggal Kpah Sherman Bantu Liberia Mengatasi Chad Dalam Pusingan Kelayakan AFCON2021
Peter James Butler Panggil Penyerang PKNS FC, Kpah Sherman Sertai Skuad Kebangsaan Liberia