Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mengakui mental pemainnya berada dalam keadaan tidak stabil bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 setelah menampilkan prestasi hambar dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
Sebelum bertolak ke Singapura, Vietnam menghadapi jadual padat dalam kelayakan Piala Dunia 2022 namun nasib tidak menyebelahi mereka dimana dalam enam perlawanan yang dihadapi, The Golden Star menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata, dibolosi 14 dan hanya mampu menjaringkan 4 gol.
Menurut Hang-seo, prestasi hambar ini nyata memberi impak yang cukup mendalam terhadap mental pemain. Namun, jurulatih dari Korea Selatan itu berfikiran positif dan cuba untuk menaikkan semangat pemain dalam setiap perlawanan yang dihadapi dalam saingan Piala AFF.
“Kami beraksi dalam enam perlawanan kelayakan Piala Dunia tanpa meraih kemenangan dan perkara itu sudah pasti memberi kesan terhadap mental kami. Tetapi kami juga menunjukkan peningkatan dan bertekad untuk melanjutkannya dalam kejohanan edisi kali ini,” kata Park Hang-seo.
Jurulatih itu menambah tekanan sebagai juara bertahan adalah sangat besar dan beliau berharap pada aksi pembukaan menentang Laos, para pemain dapat menampilkan aksi terbaik sekaligus memulakan saingan dengan kemenangan.
“Ini adalah situasi yang berbeza dan kami sedar setiap pasukan memiliki kekuatan masing-masing. Kami sudah bersedia dengan semangat yang tinggi kerana kami tahu sasaran yang diletakkan ke atas kami ialah mempertahankan kejuaraan,” tambahnya.
Vietnam diletakkan dalam kumpulan B bersama Malaysia, Kemboja, Laos dan Indonesia. Selepas aksi menentang Laos, Vietnam akan turun menentang Malaysia pada 12 Disember, Indonesia pada 15 Disember dan Kemboja pada 19 Disember.
Baca artikel lain mengenai saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:
Bimbang Padang ‘Barai’ Punca Penganjur Tidak Benarkan Pasukan Buat Latihan Rasmi Di Stadium
Ryu Hirose: Kami Lakukan Banyak Analisis Terhadap Malaysia, Sedia Tampilkan Prestasi Terbaik
Piala AFF 2020: Singapura Cemerlang, Ikhsan Fandi Curi Tumpuan