Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kemboja, Ryu Hirose menegaskan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk turun menentang Malaysia pada aksi pembukaan kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 hari ini.
Menurut Hirose, staf kejurulatihan telah membuat kajian mendalam terhadap skuad Harimau Malaya dan beliau yakin skuad bimbingannya mampu untuk menampilkan prestasi terbaik pada petang ini.
“Pada aksi pembukaan Piala AFF Suzuki, kami akan turun menentang Malaysia. Kami melihat bola sepak Malaysia sangat berkembang dalam beberapa tahun kebelakangam ini.
“Kami banyak melakukan banyak analisis dan kajian terhadap mereka dan akan mempersiapkan pasukan bagi memastikan pemain berada dalam keadaan baik menuju ke hari perlawanan.
“Semua pihak harus mempunyai kekuatan dan menampilkan 100 peratus usaha ketika menentang Malaysia,” kata Ryu Hirose.
Jika dilihat di atas kertas, pasukan negara bimbingan Tan Cheng Hoe sepatutnya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kemboja kerana lebih berpengalaman berbanding pasukan lawan.
Namun, banyak faktor yang dilihat mampu memberi kesukaran kepada skuad kebangsaan seperti isu dua pemain iaitu Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid yang tidak dapat diturunkan ekoran dijangkiti virus COVID-19.
Dua pemain ini merupakan pemain penting dalam kesebelasan utama dan kehilangan mereka dilihat bakal memberi impak besar terhadap persembahan pasukan negara pada aksi menentang Kemboja.
Di kem pasukan lawan pula, mereka diperkuatkan oleh bekas pemain Sri Pahang dan PKNS FC, Chan Vathanaka selain bekas pemain Negeri Sembilan, Prok Mony Udom dan Keo Sokpheng yang pernah beraksi bersama PKNP FC.
Selain itu, pengurus pasukan yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda turut membawa beberapa pemain muda yang sedang meningkat naik antaranya Sieng Chanthea, Leng Nora, Om Chanpolin, Lim Pisoth, Sin Kakada dan Min Rattanak yang menampilkan prestasi baik pada kelayakan AFC B-23 Tahun pada Oktober lalu.
Kali terakhir Malaysia bertemu Kemboja ialah pada peringkat kumpulan edisi 2018 dimana Harimau Malaya menewaskan Angkor Warrior dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:
Piala AFF 2020: Singapura Cemerlang, Ikhsan Fandi Curi Tumpuan
Piala AFF 2020: Langkah Kanan Buat Thailand, Atasi Timor Leste 2-0